
PORT DICKSON, 18 Julai – Polis mengesahkan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini selepas dipercayai melarikan diri ke Thailand susulan disiasat berhubung kes ugutan jenayah menerusi Facebook.
- Lelaki tempatan berusia 33 tahun hadir menyerah diri kira-kira jam 12.45 tengah hari untuk membantu siasatan.
- Laporan diterima pada 10 Mac mendakwa mangsa diugut menerusi Facebook; kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233.
- Suspek dipercayai melarikan diri ke Thailand pada 9 Mac, berada lebih empat bulan, masuk semula secara tidak sah melalui Kelantan; akan direman di Mahkamah Seremban.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu hadir menyerah diri kira-kira jam 12.45 tengah hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan bermula selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 6.25 petang, 10 Mac lalu yang mendakwa diugut oleh suspek menerusi Facebook.
“Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Usaha mengesan suspek dijalankan di sekitar Kajang, Selangor, namun siasatan mendapati dia dipercayai telah melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Datuk Alzafny, hasil siasatan mendapati suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum memasuki semula Malaysia melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
Katanya, sebaik tiba di negara ini, suspek tampil menyerah diri di IPD Port Dickson.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.