HSJ sasar jadi pusat rujukan utama kardiovaskular Wilayah Utara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November – Kementerian Kesihatan (KKM) merancang memperluas keupayaan Hospital Seberang Jaya (HSJ) dalam pengendalian kes kardiologi kompleks dan pembedahan kardiotorasik menjelang pertengahan 2027, bagi menjadikannya pusat rujukan utama kardiovaskular di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari di HSJ mula beroperasi, meningkatkan akses rawatan kardiovaskular setempat.
  • HSJ menjadi hospital daerah pertama di Semenanjung menawarkan angiogram dan angioplasti kepada pesakit dewasa.
  • Pada hari pertama, lapan pesakit dirawat; empat berjaya menjalani prosedur angioplasti koronari.
  • Fasiliti termasuk Makmal Kardiologi Invasif, sistem angiografi, peralatan elektrofisiologi, lima katil CCU dan 15 katil CRW.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perancangan itu selari dengan pengoperasian perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari di hospital berkenaan yang bermula Rabu (semalam).

“KKM menyasarkan HSJ berkembang sebagai pusat rujukan utama kardiovaskular di wilayah utara Semenanjung Malaysia, dengan perancangan memperluas pengendalian kes kardiologi kompleks dan pembedahan kardiotorasik menjelang pertengahan 2027,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, media melaporkan HSJ melakar sejarah sebagai hospital daerah pertama di Semenanjung Malaysia yang menawarkan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari kepada pesakit dewasa.

Pada hari pertama operasi, lapan pesakit menerima rawatan, dengan empat daripadanya berjaya menjalani prosedur angioplasti koronari.

Pembangunan keupayaan itu dijangka memendekkan tempoh menunggu pesakit serta mengurangkan kebergantungan terhadap rujukan ke Hospital Pulau Pinang.

HSJ turut dilengkapi Makmal Kardiologi Invasif dengan sistem angiografi dan peralatan elektrofisiologi moden, selain kemudahan lima katil Unit Rawatan Koronari (CCU) dan 15 katil Wad Rawatan Koronari (CRW).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.