JKM siasat dakwaan pengabaian di sebuah tadika di Langkawi

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) ketika ditemui pemberita di Kuching dan gambar tular (kanan) keadaan di sebuah tadika di Langkawi yang dikaitkan dengan pengabaian kanak-kanak / Foto RTM

KUCHING, 18 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar pegawai ke sebuah tadika di Langkawi bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya pengabaian kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai pelindung JKM memainkan peranan penting; laporan mereka rujukan utama dalam prosiding mahkamah.
  • Tadika diarahkan tutup sementara semasa siasatan PDRM, memberi kesan kepada ibu bapa perlu cari penjagaan alternatif.
  • Video tular dakwa layanan tidak wajar; kanak-kanak dibiarkan tidur atas lantai dan beberapa dikunci dalam tandas, disiasat di bawah Seksyen 31(1).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, siasatan itu penting bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian sebelum laporan dikemukakan kepada mahkamah.

Menurut beliau, pegawai pelindung JKM memainkan peranan penting dalam sesuatu kes yang membabitkan kanak-kanak kerana laporan mereka akan dijadikan antara rujukan utama dalam prosiding mahkamah.

“Sebab itu (pegawai) Pelindung mempunyai peranan yang sangat penting. Apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah, mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan dan laporan yang disediakan akan dirujuk bagi menentukan sama ada ia selaras dengan hasil siasatan di lapangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau status pelaksanaan projek pembinaan Jeti Pending di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini kes berkenaan masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala tadika terbabit telah diarahkan tutup sementara sehingga siasatan selesai.

Pada masa sama, Datuk Seri Nancy mengakui penutupan sementara tadika itu memberi kesan kepada ibu bapa yang terpaksa mencari alternatif penjagaan anak mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan menutup sementara premis berkenaan adalah wajar bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus serta menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang terlibat.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan layanan tidak wajar terhadap kanak-kanak di sebuah tadika di Langkawi tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin, tindakan tersebut dipercayai dibuat oleh seorang guru yang telah diberhentikan pada Rabu lalu.

Antara tuduhan yang dinyatakan adalah kanak-kanak dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam dan ada beberapa daripada mereka pernah dikunci di dalam tandas.

Polis masih menyiasat kesahihan dakwaan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.