Bola “Hand of God” Maradona dilelong

Foto REUTERS

NEW YORK, 18 Julai – Bola dari perlawanan aksi suku akhir Piala Dunia 1986 antara Argentina dan England yang terkenal dengan gol “Hand of God” oleh Diego Maradona bakal dilelong dengan bidaan permulaan sebanyak $2.5 juta atau ($1.9 juta paun).

RINGKASAN BERITA AI
  • Heritage Auctions menggambarkan bola itu sebagai 'holy grail' bagi pengumpul barangan antik sukan.
  • Nilai lelongan boleh menandingi rekod $9.2 juta yang dibayar untuk jersi Maradona pada 2022.
  • Provenansinya: pengadil simpan, rakan setugas tandatangan, kemudian berpindah kepada pemilik peribadi.
  • Disahkan tulen oleh syarikat pemadanan foto; masa lelongan tepat kerana lonjakan pasaran kolektor dan Piala Dunia 2026.

Firma lelongan Heritage Auctions menyifatkan khazanah sukan berkenaan sebagai “holy grail” atau (artifak paling diidamkan) buat para pengumpul barangan antik sukan.

Pihak penganjur menganggarkan nilai lelongan bagi bola berkenaan mampu menandingi rekod $9.2 juta yang dibayar oleh seorang pembeli pada tahun 2022 untuk jersi yang dipakai Maradona dalam perlawanan ikonik yang sama.

Pakar lelongan di Heritage, Mike Provenzale berkata, tiada penanda aras yang boleh membandingkan anggaran nilai sebenar yang mampu dicapai oleh bola tersebut memandangkan impak sejarahnya yang terlalu besar.

Peristiwa”‘Hand of God’ ialah satu detik yang malar segar. Walaupun anda tidak tahu apa-apa tentang bola sepak, anda pasti pernah mendengar tentangnya dan tahu kisahnya.

“Jadi, ia melangkaui sempadan sukan itu sendiri dan telah menjadi sebahagian daripada cerita rakyat,” kata Provenzale kepada Reuters di tapak konvensyen Pusat Javits pada Jumaat.

Menceritakan kembali kronologi perjalanan bola tersebut selepas tamat perlawanan pada tahun 1986, Provenzale menjelaskan ia pada mulanya disimpan oleh pengadil utama perlawanan, yang kemudian meminta rakan-rakan setugasnya menandatangani bola berkenaan sebelum ia bertukar tangan kepada pemilik peribadi.

Kesahihan mengenai bola itu kini telah disahkan secara rasmi oleh sebuah syarikat pemadanan foto yang mengesahkan bahawa ia adalah objek tulen yang digunakan dalam perlawanan bersejarah itu.

Langkah mengetengahkan bola berkenaan ke pentas lelongan disifatkan amat tepat pada masanya ekoran lonjakan besar pasaran pengumpul barangan bola sepak, yang turut dirancakkan lagi oleh penganjuran Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico ketika ini.

Nilai bola tersebut juga dijangka melonjak ekoran kejayaan Argentina melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia menentang Sepanyol pada Isnin ini.

Sesi bidaan rasmi bagi bola ikonik itu akan dibuka oleh Heritage Auctions bermula akhir bulan ini sehingga hujung minggu bertarikh 21 hingga 23 Ogos depan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.