
LONDON, 18 Julai – Aston Villa memulakan langkah agresif dalam jendela perpindahan musim panas dengan membelanjakan lebih £50 juta ($67 juta) bagi membawa masuk perancang muda Switzerland, Johan Manzambi, sebagai pengganti Youri Tielemans yang berhijrah ke Manchester United.
- Manzambi, 20, dinobatkan Pemain Muda Terbaik Liga Europa selepas bantu Freiburg mara ke final.
- Persembahan cemerlang di Piala Dunia: tiga gol dan dua bantuan dalam empat perlawanan sebelum kecederaan.
- Rekrut pertama Villa musim ini, dengan kelab turut memuktamadkan perpindahan Joao Gomes bagi memperkuat bahagian tengah.
Manzambi, 20, yang dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Europa musim lalu selepas membantu kelab Jerman, Freiburg, mara ke perlawanan akhir menentang Villa, menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Unai Emery itu biarpun mendapat saingan sengit daripada Newcastle United.
Yuran perpindahan tersebut sekali gus memecah rekod pembelian termahal dalam sejarah kelab Villa.
Pemain tengah berpotensi besar itu menyertai Villa selepas mempamerkan aksi memukau pada kempen Piala Dunia baru-baru ini, dengan meledak tiga gol dan menyumbang dua umpanan gol dalam empat penampilan bersama Switzerland sebelum terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Sumbangan luar biasa Manzambi itu turut membantu negaranya melangkah ke pusingan suku akhir sebelum disekat oleh juara bertahan, Argentina.
“Saya sangat, sangat gembira dan teruja untuk beraksi bersama kelab ini. Ia sebuah kelab yang sangat besar di England dan mereka bersaing dalam Liga Juara Eropah.
“Saya sudah pun mempunyai pengalaman beraksi menentang Aston Villa sebelum ini, dan bagi saya, (perpindahan) ini adalah satu perancangan yang sempurna.
“Saya berharap dapat mengulangi prestasi sama seperti di Piala Dunia dan bersama Freiburg,” katanya kepada media kelab.
Kehadiran Manzambi merupakan rekrut pertama Villa bagi jendela perpindahan kali ini dalam usaha Emery membina semula jentera tengahnya selepas Tielemans dijual kepada Manchester United dengan nilai £35 juta.
Selain Manzambi, Villa dilapor sedang memuktamadkan satu lagi perpindahan besar melibatkan pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Joao Gomes, bagi memantapkan persediaan kelab menghadapi kempen Eropah. – REUTERS