
KULIM, 17 Julai – Tiga individu maut, manakala seorang lagi terselamat selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, Kampung Ulu Riau.
- Kepala air melanda kawasan air terjun Sungai Sedim, menyebabkan pengunjung dihanyutkan arus deras.
- Siren kecemasan di lokasi didapati mengalami kerosakan semasa kejadian.
- Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan, menjalankan pencarian dan menemui mangsa di kawasan pertengahan bukit sebelum membawa keluar.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring dalam kenyataan mengesahkan insiden berlaku kira-kira pukul 2.38 petang tadi, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden di lokasi berkenaan.
“Mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang wanita dan dua kanak-kanak, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia 4 tahun, selamat.
“Insiden berpunca daripada kepala air dan ketika kejadian, siren kecemasan di lokasi berkenaan mengalami kerosakan,”katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.27 petang berhubung kejadian kepala air di pusat peranginan air terjun Sungai Sedim yang melibatkan beberapa mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal, seramai tiga mangsa, masing-masing seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki telah dihanyutkan arus deras di kawasan puncak
bukit.
“Pihak kami telah menjalankan pemantauan dan pencarian di lokasi sebelum dimaklumkan orang awam yang semua mangsa telah ditemukan di kawasan pertengahan bukit dan pasukan bomba kemudian membawa keluar kesemua mangsa
“Kesemua mangsa yang maut adalah Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3 tahun, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12 tahun dan Nur Atikah Abdullah, 28 tahun,”katanya.
Terdahulu, tular kejadian kepala air melanda Sungai Sedim yang menyebabkan beberapa pengunjung dihanyutkan arus deras.