Jangan sorok kes buli demi jaga imej sekolah – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik pada Program Temu Anwar di Bandar Enstek di sini hari ini./ Foto BERNAMA

NILAI, 17 Julai – Pihak sekolah diingatkan supaya tidak menyembunyikan kes buli semata-mata untuk menjaga imej institusi, sebaliknya mengambil tindakan segera bagi melindungi mangsa dan menangani masalah itu secara berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu atau dua kes buli tidak bermakna kegagalan sekolah; salah jika pihak sekolah tidak bertindak atau menutup kes.
  • Peranan guru meliputi membentuk akhlak dan menghormati insan, bukan semata-mata kecemerlangan akademik atau teknikal.
  • Bakal guru IPG diharap memainkan peranan wujudkan persekitaran sekolah selamat, harmoni dan bebas budaya buli.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes buli memberi kesan besar kepada mangsa dan boleh berlaku di mana-mana institusi pendidikan.

Namun kewujudan satu atau dua kes berkenaan bukan bermakna pihak sekolah gagal, sebaliknya kesalahan sebenar adalah apabila mereka tidak bertindak atau cuba menutup kes tersebut.

“Saya tidak fikir seorang guru besar atau pengetua itu salah kalau daripada 1,000 pelajar, ada satu atau dua kes. Takkan hendak salahkan dia?.

“Tetapi salah kalau dia tidak mahu mengambil tindakan dan mahu menutup kes itu,” katanya ketika sesi soal jawab pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar IPG di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata peranan guru bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik atau bidang teknikal, sebaliknya membentuk insan yang berakhlak mulia termasuk menghormati orang lain.

“Dia belajar untuk apa? Untuk jadi manusia. Pendidikan tinggi, PhD sekali pun, kalau tidak memahami kemanusiaan dan tidak menghormati manusia lain, kita kena tanya dia belajar untuk apa,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap bakal guru yang mengikuti latihan di IPG dapat memainkan peranan dalam membentuk sahsiah pelajar serta mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada budaya buli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.