
NILAI, 17 Julai — Malaysia tidak akan mampu menjadi sebuah negara maju sekiranya masyarakat terus menyemai budaya kebencian, perkauman dan sikap tidak menghormati antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pendidikan mesti menjadi medium utama membentuk masyarakat yang menghargai kemanusiaan, saling menghormati dan menerima kepelbagaian kaum serta agama.
- Islam mengangkat martabat setiap manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama sebagai asas nilai kemanusiaan sejagat.
- Bakal guru perlu memainkan peranan penting membentuk generasi berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai kemanusiaan.
- Perjuangan mesti diterjemah melalui tindakan bukan sekadar slogan; pemimpin dan penjawat awam mesti beri contoh serta membela nasib rakyat.
Beliau berkata pendidikan perlu menjadi medium utama dalam membentuk masyarakat yang menghayati nilai kemanusiaan, saling menghormati serta menerima kepelbagaian kaum dan agama.
“Tak ada negara di dunia yang hebat dan selamat dengan menanam bibit kebencian antara kaum. Yang nak diangkat ini adalah manusia sejati dan kita cuba sebaik mungkin menyempurnakan ajaran Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Bersama Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata Islam mengangkat martabat setiap manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama, sambil mengingatkan kisah Bilal bin Rabah serta teladan Nabi Muhammad SAW yang menghormati jenazah seorang Yahudi sebagai contoh akhlak dan nilai kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, bakal guru perlu memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia serta insan yang memiliki nilai kemanusiaan.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan setiap perjuangan perlu diterjemahkan melalui tindakan dan bukannya sekadar slogan atau retorik.
“Apabila diberi amanah sebagai guru, penjawat awam atau pemimpin, tunjukkan contoh yang baik dengan bekerja bersungguh-sungguh dan membela nasib seluruh rakyat,” katanya.