
NILAI, 17 Julai – Cadangan menambah baik bantuan tambang penerbangan khususnya kepada pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi meringankan beban mereka pulang ke kampung, terutama pada musim perayaan.
- Kerajaan sedia maklum isu tambang penerbangan dan akan meneliti pendekatan untuk mengurangkan beban kos kepada pelajar.
- Cadangan termasuk skim khas siswa, tempahan awal dan block booking untuk menurunkan sedikit harga tiket.
- Menteri Pengangkutan mengadakan rundingan dengan syarikat penerbangan bagi menambah kekerapan penerbangan untuk tempahan awal.
- Kenaikan harga minyak mentah dunia memberi kesan kepada kos operasi syarikat penerbangan serta kewangan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia maklum mengenai isu berkenaan dan akan meneliti beberapa pendekatan bagi mengurangkan beban kos tambang penerbangan yang semakin meningkat.
“Kalau kita gunakan skim-skim khas siswa, kemudian tempahan awal dan block booking, mungkin kita boleh turunkan sedikit harga itu.
“Saya tidak mahu berjanji lebih daripada itu setakat ini, tetapi saya akan membawa cadangan ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar IPG di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengadakan rundingan dengan syarikat penerbangan bagi menambah kekerapan penerbangan untuk tempahan awal sebagai usaha membantu menurunkan harga tiket.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia turut memberi kesan kepada kos operasi syarikat penerbangan dan kewangan kerajaan.
Katanya, ketika Belanjawan disediakan, kerajaan membuat unjuran harga minyak mentah pada paras AS$70 setong, namun harga itu pernah meningkat sehingga mencecah AS$114 setong sebelum kini berada sekitar AS$79 hingga AS$80 setong.
Terdahulu, seorang pelajar memohon penambahbaikan bantuan tambang penerbangan susulan kenaikan harga tiket, terutama pada musim perayaan.