Pendidikan kekal terima peruntukan terbesar setiap tahun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Temu Anwar bersama pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek/Foto BERNAMA

NILAI, 17 Julai – Pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan dengan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan setiap tahun bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan mesti menjadi pemangkin perubahan, melahirkan individu yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak mudah berpuas hati.
  • Pendekatan pembelajaran perlu menekankan STEM, teknologi digital, kecerdasan buatan dan inovasi untuk memenuhi keperluan masa depan negara.
  • Perkembangan pesat teknologi dan transisi tenaga menuntut sistem pendidikan berkembang agar graduan kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor pendidikan sentiasa menerima peruntukan tertinggi sejak beliau menerajui pentadbiran negara, diikuti sektor kesihatan sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan modal insan.

“Sejak saya ambil alih tugas, dalam setiap Belanjawan, peruntukan terbesar diberikan kepada bidang pendidikan. Kedua ialah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar IPG di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, pendidikan perlu menjadi pemangkin perubahan dengan melahirkan individu yang sentiasa berusaha memperbaiki diri serta tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

“Budaya yang sihat itu mesti ada striving for excellence. Cara kita belajar, pendekatan kita, cara kita bergaul, akhlak kita dan kerja kita,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh sistem pendidikan turut memerlukan perubahan dalam pendekatan pembelajaran dengan memberi penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta inovasi bagi memenuhi keperluan masa depan negara.

Katanya, perkembangan pesat teknologi termasuk AI dan transisi tenaga menuntut sistem pendidikan sentiasa berkembang agar graduan yang dilahirkan kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan industri.

“Semua perubahan itu memerlukan inovasi dan kaedah pemikiran baharu,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.