Kabinet setuju cadang pindaan Akta 333, wujud pampasan mangsa kemalangan

Anthony Loke mengumumkan cadangan mekanisme pampasan khas kepada mangsa kemalangan jalan raya menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987/Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 Julai – Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris sebagai hukuman tambahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaun pampasan diputuskan mahkamah berdasarkan merit kes dan kemampuan pesalah.
  • Elemen pampasan dimasukkan ke bawah kes jenayah sebagai reformasi perundangan untuk membela mangsa dan waris.
  • Pindaan turut mengukuhkan Sistem KEJARA sebagai intervensi awal dengan tatacara makluman mata demerit lebih telus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan yang dipersetujui pada Rabu lalu itu turut merangkumi usaha memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan kepada mangsa serta keluarga,” katanya.

Loke berkata demikian pada sidang media berhubung Pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bagi Mewujudkan Peruntukan Pampasan Kepada Mangsa Kemalangan dan Pengukuhan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya di sini hari ini.

Beliau berkata, amaun pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan merit setiap kes serta kemampuan pesalah untuk membayar.

Jelasnya, elemen pampasan itu akan dimasukkan terus di bawah kes jenayah sebagai reformasi perundangan bagi membela nasib mangsa.

“Mekanisme pampasan yang dicadangkan ini juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada,” katanya.

Selain mekanisme pampasan, pindaan itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan Sistem KEJARA sebagai intervensi awal bagi mengawal pemandu berisiko tinggi dan pesalah tegar melalui tatacara makluman mata demerit yang lebih telus.

Draf pindaan undang-undang itu disasarkan dibentangkan di Dewan Rakyat menjelang November 2026 selepas melalui sesi libat urus menyeluruh dan penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“MOT komited membangunkan kerangka perundangan yang membela mangsa dan waris, memastikan pesalah bertanggungjawab sepenuhnya serta mencegah kesalahan jalan raya daripada terus berulang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.