Subsidi RM40 bilion kekalkan RON95 Malaysia antara termurah di dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Temu Anwar bersama pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek/Foto BERNAMA

NILAI, 17 Julai – Kerajaan akan terus menanggung beban fiskal yang besar bagi memastikan harga petrol RON95 kekal antara yang terendah di dunia meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan geopolitik yang menjejaskan pasaran tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan prioritaskan lindungi kos sara hidup, subsidi bahan api melebihi RM40 bilion tahun ini, mengecilkan ruang fiskal untuk pembangunan.
  • Harga RON95 dikekalkan RM1.99 seliter, antara yang termurah di dunia termasuk lebih rendah berbanding pengeluar minyak utama.
  • Keupayaan mengekalkan subsidi bergantung kepada perbaiki tatakelola kewangan, penjimatan membolehkan peruntukan RM15 bilion untuk STR dan SARA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu mencerminkan keutamaan kerajaan untuk melindungi kos sara hidup rakyat walaupun memerlukan peruntukan subsidi bahan api melebihi RM40 bilion tahun ini, sekali gus mengecilkan ruang fiskal yang boleh digunakan bagi tujuan pembangunan.

“Tiap kali awak isi minyak, kerajaan kena tampung. Berapa? RM40 bilion. RM40 bilion itu boleh membina berapa universiti dan berapa sekolah. Tetapi adakah kita ada pilihan? Tidak,” katanya semasa Program Temu Anwar Bersama Pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, hasil pendekatan itu, harga RON95 di Malaysia kekal pada RM1.99 seliter, iaitu antara yang terendah di dunia termasuk lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama.

“Minyak RM1.99 seliter itu antara yang paling rendah di dunia. Kalau hendak lebih rendah pun boleh, tetapi dengan harga RON95 RM1.99 dan diesel RM2.10, tanggungan kerajaan tahun ini melebihi RM40 bilion. Setiap kali isi minyak, janganlah membazir.

“Harga minyak di Malaysia RM1.99 seliter. Arab Saudi merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia, tetapi harga minyak kita lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan kerajaan mengekalkan subsidi pada skala tersebut bergantung kepada usaha memperkukuh tatakelola kewangan awam menerusi pengurangan ketirisan dan peningkatan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Hasil penjimatan itu, katanya, membolehkan kerajaan bukan sahaja meneruskan subsidi bahan api, malah memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.