
KOTA BHARU, 17 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 1,200 anak pokok bersama sebuah lori dengan nilai keseluruhan RM133,000 di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang pada Khamis.
- Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dengan bantuan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.
- Anak pokok disyaki membawa serangga perosak dan penyakit tumbuhan, membahayakan tanaman dan keselamatan bio.
- Kes dan suspek diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Rampasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dengan bantuan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan kira-kira pukul 9 malam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata anggota yang menjalankan rondaan mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan bersama seorang lelaki berusia 43 tahun.
Pemeriksaan awal mendapati lori itu membawa pelbagai jenis dan saiz anak pokok sebelum kenderaan berkenaan dibawa ke Kompleks Taktikal PGA Taman Bakti, Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut.
“Anak pokok itu disyaki berisiko membawa serangga perosak dan penyakit tumbuhan.
“Antara yang dirampas ialah anak pokok bunga cengkih, kemboja, pudina, lada hitam, petai, cermai, jambu madu, bunga ros, ciku dan rambutan,” katanya.
Kesemua anak pokok berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Malaysia dan akan dihantar ke Perak untuk pasaran tempatan.
Lelaki terbabit dipercayai menerima upah RM200 bagi setiap penghantaran yang berjaya dilakukan.
Kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).