UK ambil alih British Steel

Foto AFP

LONDON, 16 Julai – Kerajaan United Kingdom (UK) mengambil alih sepenuhnya syarikat keluli utama negara, British Steel, dalam usaha melindungi masa depan industri itu serta menjamin keselamatan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah dibuat selepas Jingye memaklumkan kilang Scunthorpe tidak lagi berdaya maju, mencetuskan risiko penutupan.
  • Perdana Menteri kata nasionalisasi menjamin kelangsungan pengeluaran, melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi dan keupayaan strategik negara.
  • Menteri perniagaan beri amaran jika pengeluaran domestik berhenti, UK bergantung kepada import; kesatuan mahukan sokongan dan penggunaan keluli tempatan.

Keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kawalan daripada syarikat China, Jingye, susulan kebimbangan penutupan kilang terakhir UK yang mampu menghasilkan keluli dari peringkat asas di Scunthorpe, utara England.

Perdana Menteri, Keir Starmer berkata, langkah nasionalisasi itu akan memastikan kelangsungan industri keluli, melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengekalkan keupayaan strategik negara.

“Keputusan ini menjamin masa depan pengeluaran keluli di UK serta melindungi rantaian bekalan penting negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas rang undang-undang berkaitan diluluskan menjadi undang-undang pada Rabu.

Sebelum ini, kilang Scunthorpe berdepan risiko penutupan selepas Jingye memaklumkan operasi itu tidak lagi berdaya maju dari segi kewangan. Situasi itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan ekonomi jangka panjang UK, memandangkan industri keluli negara itu semakin merosot sejak beberapa dekad lalu.

Menteri Perniagaan, Peter Kyle berkata, kerajaan perlu memastikan relau letupan terus beroperasi bagi mengekalkan pengeluaran, rantaian bekalan dan peluang pekerjaan.

Menurutnya, jika pengeluaran domestik terhenti, UK akan bergantung sepenuhnya kepada pasaran antarabangsa bagi bekalan keluli, termasuk untuk pembinaan landasan kereta api dan sektor pembinaan.

Langkah nasionalisasi ini juga menandakan kali pertama British Steel kembali dimiliki kerajaan sejak 1988.

Ketua Pegawai Eksekutif sementara British Steel, Allan Bell menyifatkan keputusan itu sebagai detik bersejarah bukan sahaja kepada syarikat, tetapi juga kepada sektor pembuatan UK secara keseluruhan.

Sementara itu, kesatuan pekerja menyambut baik langkah berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha penting menyelamatkan industri keluli negara, namun menegaskan lebih banyak sokongan diperlukan termasuk komitmen projek infrastruktur awam untuk menggunakan keluli tempatan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.