Malaysia kutuk pelan peluasan penempatan haram Israel di Wilayah Palestin Diduduki

Malaysia mengutuk pelan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memperluas penempatan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki.

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pelan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memperluas penempatan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), yang disifatkan sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan bernilai USD2.3 bilion itu melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Keselamatan PBB dan Konvensyen Geneva Keempat.
  • Tujuan projek adalah mengukuhkan pendudukan haram Israel dan menafikan hak rakyat Palestin.
  • Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB menolak pelan untuk mengelakkan ketidakstabilan lebih buruk di rantau.
  • Komitmen Malaysia: solidariti tidak berbelah bahagi dan sokongan penubuhan Negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pelan bernilai USD2.3 bilion itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva Keempat, malah bertujuan mengukuhkan pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.

“Tindakan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan cubaan terancang untuk memperkukuh pendudukan haram rejim berkenaan, serta menafikan hak-hak mutlak rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB menolak sekeras-kerasnya pelan berkenaan bagi mengelakkan ketidakstabilan yang lebih buruk di rantau itu serta menyifatkan tindakan Israel sebagai usaha menafikan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka.

“Rampasan tanah Palestin yang berterusan dan peluasan penempatan haram hanya akan mengekalkan ketidakadilan, ketidakstabilan serta memburukkan lagi keadaan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan mengulangi sokongan berterusan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.