
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Trend penyakit tidak berjangkit (NCD) khususnya diabetes dalam kalangan belia bawah 30 tahun amat membimbangkan susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes diabetes Jenis 2 seawal usia 14 tahun.
- NDR merekod 1,926 kes baharu (2024), 1,932 (2025) dan 660 sehingga Jun 2026.
- KKM menjawab pertanyaan Parlimen mengenai peningkatan diabetes dan hipertensi dalam golongan belia bawah 30 tahun.
- Kempen War on Sugar dan pelaksanaan cukai gula dilaporkan memberi impak positif terhadap kadar obesiti.
- Kajian 2024 mendapati pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja turun daripada 36.9% kepada 16.4%.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR), sebanyak 660 kes baharu direkodkan setakat Jun 2026.
“Jumlah kes baharu yang didaftarkan ialah sebanyak 1,926 pesakit pada tahun 2024, meningkat sedikit kepada 1,932 pesakit pada tahun 2025. Bagi tahun ini, sehingga Jun 2026, sebanyak 660 kes baharu telah direkodkan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu berkenaan statistik terkini kes penyakit tidak berjangkit bagi 2024 hingga 2026 khususnya membabitkan peningkatan kes diabetes dan hipertensi dalam kalangan golongan belia bawah 30 tahun.
Mengulas mengenai keberkesanan kempen War on Sugar dan penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional, ia memberi impak positif.
Menerusi Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula di Malaysia pada 2024 pelaksanaan itu memberi impak terhadap corak pengambilan minuman bergula.
Perkara itu termasuk pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.