
KUANTAN, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan nilai rampasan hampir RM5 bilion di perairan negara dalam tempoh 20 tahun sejak 2006 hingga 29 Jun 2026.
- Maritim Malaysia merekodkan 18,230 tangkapan serta menjalankan 1,443,950 pemeriksaan dan 568,965 penggeledahan dalam 20 tahun.
- Kerjasama Sahabat Maritim membantu mengendalikan 3,659 operasi menyelamat melibatkan 19,059 mangsa, kebanyakan berjaya diselamatkan.
- Agensi mematahkan cubaan penyeludupan rokok di Tawau dengan rampasan lebih 3,000 peti rokok dan sebuah kapal pada 23 Jun.
- Maritim akan terus menjaga kedaulatan perairan seluas 556,000 kilometer persegi, hampir dua kali ganda keluasan darat.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, dalam tempoh sama, agensi itu berjaya merekodkan 18,230 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan bawah undang-undang negara.
Pihaknya turut menjalankan 1,443,950 pemeriksaan dan 568,965 penggeledahan sepanjang tempoh 20 tahun, hasil kerjasama komuniti yang sentiasa menyalurkan maklumat melalui Sahabat Maritim.
“Hasil hubungan baik dengan komuniti maritim, kita berjaya mengendalikan sebanyak 3,659 operasi menyelamat yang melibatkan 19,059 mangsa dan sebahagian besar daripada mereka berjaya diselamatkan.
“Kejayaan ini membuktikan betapa pentingnya penyampaian maklumat yang tepat dan pantas daripada komuniti maritim kepada pihak berkuasa, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil bagi menangani setiap insiden yang berlaku di laut dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santuni MADANI dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok, di sini.
Pada program itu, Maritim Malaysia turut menyampaikan bakul makanan kepada golongan asnaf serta menyerahkan jaket keselamatan kepada komuniti nelayan sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan di laut.
Dalam perkembangan lain, Maritim Malaysia berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok di Tawau, Sabah dengan rampasan lebih 3,000 peti rokok bersama sebuah kapal dianggarkan bernilai kira-kira RM64 juta pada 23 Jun lalu.
Maritim Malaysia akan terus menjaga kedaulatan perairan negara meliputi kawasan seluas 556,000 kilometer persegi yang dikatakan hampir dua kali ganda daripada darat.