
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bagi memperkukuh keselamatan infrastruktur komunikasi negara.
- Pindaan bertujuan memastikan kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat kekal relevan dan mampu menangani landskap komunikasi lebih kompleks.
- Menangani ancaman keselamatan siber dan kebergantungan rangkaian bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta kebocoran data.
- RUU mengandungi dua fasal termasuk pindaan Seksyen 202 bagi memasukkan Subseksyen 202(1A) dan 202(1B).
- Pindaan Subseksyen 202(2) memberi kuasa kepada Menteri menggubal peraturan pelaksanaan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat Kebangsaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan memastikan kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kekal relevan.
Menurut beliau, pindaan itu juga bagi memastikan kerangka berkenaan mampu menangani cabaran landskap komunikasi dan multimedia yang semakin kompleks.
Katanya, kerangka PPS sebelum ini berjaya memperluaskan liputan infrastruktur dan perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.
Bagaimanapun, perkembangan teknologi, ancaman keselamatan siber dan kebergantungan terhadap rangkaian komunikasi menuntut pendekatan kawal selia yang lebih berkesan.
“Rakyat berisiko berdepan gangguan perkhidmatan, pelanggaran keselamatan, kebocoran data, penyalahgunaan akses serta gangguan terhadap sistem kritikal sekiranya infrastruktur komunikasi tidak diselaras dan dikawal selia secara berkesan,” katanya ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 mengandungi dua fasal, termasuk pindaan kepada Seksyen 202 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memasukkan Subseksyen baharu 202(1A) dan 202(1B).
Pindaan itu turut melibatkan Subseksyen 202(2) bagi membolehkan Menteri menggubal peraturan berkaitan pelaksanaan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat Kebangsaan.