Tiada rancangan tarik balik syarat baharu EV CBU – MITI

Foto BYD Cars Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik keputusan berhubung syarat baharu pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang siap dipasang di luar negara (CBU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarat selaras Teras Dasar Automotif Nasional untuk merasionalisasikan kemasukan model EV dan memastikan industri automotif tempatan berdaya saing serta mampan.
  • Pengecualian 100% duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV CKD sehingga 31 Dis 2027 galakkan pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan vendor setempat.
  • Kerajaan percepat peluasan rangkaian pengecasan dan bina ekosistem EV mampan agar keteraksesan pengecasan turut menaikkan penerimaan serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), syarat berkenaan adalah selaras dengan teras Dasar Automotif Nasional (NAP).

MITI dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan, NAP bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV bagi melengkapkan tawaran produk dalam pasaran, di samping memastikan pembangunan industri automotif tempatan berdaya saing dan mampan.

“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan membangunkan industri automotif tempatan.

“Pengguna berhak menikmati kenderaan EV yang mampu milik, manakala negara pula memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan domestik,” jelas MITI dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

MITI menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada kerajaan akan menarik balik keputusan yang diumumkan oleh MITI baru-baru ini untuk menaikkan harga EV kerana bercanggah dengan dasar kerajaan untuk mempercepat penggunaan EV dalam kalangan rakyat dan hak pengguna untuk memiliki kenderaan EV murah dan mampu milik (bawah RM100,000 atau RM150,000).

Tambah MITI, usaha memperluas penggunaan EV tidak terhenti sebaliknya kerajaan masih meneruskan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Dis, 2027.

Jelas MITI, inisiatif itu membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga yang lebih kompetitif, di samping menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan.

Pada masa sama, kerajaan turut mempercepat pembangunan sistem EV melalui peluasan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara.

“Pendekatan ini adalah penting kerana kemampuan rakyat memiliki EV bukan sahaja bergantung kepada harga kenderaan, malah turut dipengaruhi oleh kemudahan pengecasan yang mudah diakses.

“Pengalaman industri kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) membuktikan bahawa penerimaan pengguna berkembang seiring dengan kewujudan ekosistem yang kukuh, termasuk sokongan lebih 3,000 stesen minyak di seluruh negara,” menurut kenyataan MITI lagi.

Tegas MITI, matlamat kerajaan bukan sekadar meningkatkan jualan EV dalam jangka pendek malah membangunkan keseluruhan ekosistem EV secara mampan supaya rakyat dapat menikmati kenderaan yang lebih mampu milik.

Jelasnya, negara juga memperoleh manfaat daripada pertumbuhan industri, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan teknologi tempatan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.