
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 15 Julai – Malaysia kini berada pada landasan yang kukuh, ke arah sebagai hab kecerdasan buatan (AI) serantau, selaras aspirasi negara AI menjelang 2030.
- Malaysia berada pada landasan kukuh menjadi hab AI serantau selaras aspirasi Negara AI 2030.
- Perkembangan dipacu industri semikonduktor, pelaburan pusat data global dan pembangunan bakat tempatan.
- Kestabilan geopolitik, dasar China Plus One dan tenaga kerja berkemahiran tinggi menarik pelaburan teknologi tinggi.
- Sasaran 500,000 pekerjaan profesional AI menjelang 2030; peranan universiti dan tindakan proaktif kerajaan mengurangkan kekurangan bakat.
Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nurhizam Safie Mohd Satar berkata, perkembangan tersebut dipacu oleh kekuatan industri semikonduktor, pelaburan pusat data global serta pembangunan bakat tempatan.
“Ketika ini, 13 peratus daripada pengeluaran cip dunia ini berasal daripada Malaysia selain, banyak pusat data yang besar turut dibuka.
“Justeru, ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kedudukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri bual bicara Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kedudukan geopolitik Malaysia yang stabil, dasar ‘China Plus One’, serta tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi, turut menjadi kelebihan negara dalam menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggit.
Sementara itu, Profesor Dr. Nurhizam optimis bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan profesional dalam bidang AI menjelang 2030.
“Usaha ini didorong peranan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
“Langkah proaktif kerajaan dan universiti diyakini mampu mengurangkan cabaran kekurangan bakat dalam sektor berkenaan,” katanya lagi.