
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki termasuk seorang warga India serta merampas 100 kotak minuman keras disyaki tidak bercukai dalam serbuan Op Taring Alpha 2 Intra/Inter di sekitar Jalan Beria, Klang, Selangor semalam.
- Operasi dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Ronda MPV IPD Klang Selatan.
- Pemeriksaan lori menemukan minuman keras disyaki tidak bercukai; turut dirampas kenderaan, telefon bimbit dan barangan jenama Royal Dutch; nilai rampasan dianggarkan RM409,818.
- Semua tangkapan dan barang dibawa ke IPD untuk tindakan di bawah Akta Kastam, Akta Imigresen dan Akta Pengangkutan Jalan; orang ramai diminta menyalurkan maklumat.
Menurut kenyataan Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh, operasi kira-kira pukul 1.00 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah serta Unit Ronda Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap dua lori yang mencurigakan sebelum polis menahan seorang lelaki warga Malaysia dan seorang lelaki warga India, kedua-duanya berusia lingkungan 40 tahun yang sedang memindahkan beberapa kotak dari sebuah lori ke sebuah kereta di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lori menemukan sejumlah kotak yang disyaki mengandungi minuman keras tidak bercukai kastam.
“Turut dirampas 100 kotak minuman keras jenama Royal Dutch, sebuah lori, sebuah kereta dan sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM409,818,” menurut kenyataan itu.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Superintenden Amanjit menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.