
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya bakal diperkukuh menerusi cadangan pindaan lanjut kepada Fasal 18 Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan.
- Nama calon Pendakwa Raya dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan sebelum syor ke SPKP.
- Pelantikan Pendakwa Raya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
- Syor termasuk tempoh jawatan tujuh tahun tanpa pelantikan semula, laporan tahunan di Parlimen, dan kod etika yang membolehkan tindakan pemecatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan itu telah dipersetujui Jemaah Menteri selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Di bawah cadangan ini, nama calon Pendakwa Raya hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Calon berkenaan kemudiannya akan diteliti oleh satu Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum Dewan Rakyat membuat syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP),” katanya ketika membentangkan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Azalina yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata langkah tersebut dapat memperkukuh mekanisme semak dan imbang tanpa menjejaskan kebebasan institusi Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
Penyata JKPK dwipartisan yang dianggotai 12 Ahli Parlimen itu menggariskan tujuh syor utama, termasuk pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP tanpa nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
Syor lain merangkumi penetapan tempoh jawatan Pendakwa Raya selama tujuh tahun tanpa pelantikan semula, kewajipan mengemukakan laporan tahunan di Parlimen serta pengenalan kod etika khusus yang pelanggarannya boleh menjadi asas tindakan pemecatan.