
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Tindakan berani menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah mengundang padah apabila 18 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, hari ini.
- Tahanan terdiri daripada 13 lelaki dan 5 wanita, umur antara 25 hingga 32 tahun, dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.
- Kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan pelanggaran Akta Imigresen.
- Semua tahanan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan; dua borang saman saksi dikeluarkan kepada warga Malaysia.
- JIM catat 845 pertuduhan (801 warga asing), 556 pertuduhan tinggal lebih masa, dan kutipan kompaun RM10.04 juta.
Pengarahnya, Hamsha Injau berkata kesemua mereka terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 25 hingga 32 tahun, membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.
“Seramai 39 individu diperiksa dalam operasi ini dan 18 daripadanya yang merupakan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut, manakala dua borang saman saksi turut dikeluarkan kepada warga Malaysia bagi membantu siasatan.

Operasi itu melibatkan 33 pegawai Imigresen bersama 11 pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam perkembangan sama, Hamsha berkata dari Januari hingga 30 Jun 2026, JIM Kuala Lumpur merekodkan 845 pertuduhan membabitkan 801 warga asing daripada pelbagai negara.
Menurutnya, kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 merekodkan jumlah tertinggi iaitu 556 pertuduhan, manakala jabatan itu turut mengutip RM10.04 juta kompaun bagi pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata JIM akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk majikan, pemilik premis dan individu yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sehubungan itu, beliau menyeru warga asing berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya memanfaatkan Program Repatriasi Migran (PRM) yang berlangsung sehingga 30 April 2027, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen melalui saluran rasmi JIM.