
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Seramai 71 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aliran sains bagi sesi akademik 2025/2026 ditawarkan melanjutkan pengajian ke universiti mengikut pilihan masing-masing.
- Daripada jumlah, 44 pelajar mendapat pilihan pertama, 19 pilihan kedua dan lapan pilihan ketiga.
- Tawaran tertakluk kepada syarat khas program universiti termasuk tapisan ujian dan temu duga.
- KPT memproses permohonan berdasarkan meritokrasi 90 peratus akademik, 10 peratus kokurikulum; RPTM 2026-2035 menetapkan jaminan tempat untuk PNGK 4.00.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata daripada jumlah itu, seramai 44 pelajar berjaya mendapat pilihan pertama, 19 pelajar pilihan kedua dan lapan lagi pilihan ketiga.
Beliau berkata tawaran tersebut masih tertakluk kepada syarat khas program yang ditetapkan universiti awam termasuk tapisan ujian dan temu duga.
“Pilihan tersebut tetap tertakluk kepada syarat-syarat khas program yang ditetapkan oleh universiti awam seperti tapisan ujian dan juga temu duga,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat hari ini.
Adam berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memproses permohonan calon lepasan STPM, matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berdasarkan konsep meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.
Jelasnya, menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, KPT menetapkan agenda transformasi termasuk jaminan tempat kepada pelajar cemerlang yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Beliau berkata KPT akan terus memastikan pelajar cemerlang diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pilihan terbaik berdasarkan kelayakan dan potensi masing-masing bagi sesi akademik akan datang.