
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan pelan penyuraian trafik secara berfasa dalam usaha mengurangkan kesesakan di laluan utama Sentul.
- Pelebaran Jalan Pasar Sentul daripada dua lorong kepada tiga lorong untuk meningkatkan kapasiti dan melancarkan aliran trafik.
- Petak parkir tambahan di hadapan Lot 202 disediakan bagi mengurangkan aktiviti parkir haram di bahu jalan kawasan pasar.
- Pembinaan sambungan jalan baru empat lorong dua hala di atas rizab talian TNB menghubungkan Jalan Sentul dengan Jalan Dua 48a.
- Pertingkatan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang meletak secara haram terutama di Pasar Sentul dan kawasan sekolah bagi mengurangkan kesesakan waktu puncak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata antara usaha yang akan dilaksanakan adalah pelebaran jalan daripada dua lorong kepada tiga lorong di kawasan Pasar Sentul bagi meningkatkan kapasiti laluan dan melancarkan aliran trafik.
Katanya, petak parkir tambahan di hadapan Lot 202 juga disediakan untuk mengurangkan aktiviti parkir haram di bahu jalan kawasan pasar berkenaan yang dikenal pasti antara punca kesesakan.
“Ketiga, pembinaan sambungan jalan baharu empat lorong dua hala di atas rizab talian TNB yang menghubungkan Jalan Sentul dengan Jalan Dua 48a sebagai laluan alternatif
“Keempat, pembinaan sambungan jalan baharu beserta jejabat yang menghubungkan Sentul West dengan Jalan Perhentian bagi memperbaiki penyuraian trafik.
“Kelima, pembinaan sambungan jalan baharu dua hala yang menghubungkan Jalan Perhentian dengan Jalan Sentul untuk menyediakan akses tambahan di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Su Fui, DBKL akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang meletakkan kenderaan secara haram di bahu jalan terutama di kawasan kemudahan awam seperti Pasar Sentul dan sekolah yang telah mengakibatkan kesesakan terutama pada waktu puncak.
Berkaitan laluan Residensi MAXX ke jalan Ipoh pula, beliau berkata pemaju akan membina jalan baharu satu lorong manakala DBKL akan membuka jambatan baharu dan menyiapkan dua lorong dari empat lorong bagi cadangan pelebaran Jalan Kolam Air menjelang November 2026 sebagai akses sementara.