
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan memperluas pembangunan industri hidrogen negara dengan memberi tumpuan kepada rantaian nilai lengkap termasuk ammonia hijau, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi hidrogen serantau.
- Pelaksanaan HETR 2023-2050 bersama Kerajaan Sarawak untuk penyelarasan teknologi, piawaian, bakat dan pembangunan pasaran.
- MOSTI menyokong kajian kebolehlaksanaan loji ammonia dan urea rendah karbon di Bintulu, anggaran pelaburan RM5-6 bilion menjelang 2030.
- HETR memperkukuh kerjasama tiga hala antara institusi penyelidikan, universiti dan industri untuk mengkomersialkan R&D tempatan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) 2023-2050 dilaksanakan bersama Kerajaan Sarawak melalui penyelarasan teknologi, piawaian, bakat dan pembangunan pasaran.
“MOSTI kekal komited menyokong kajian kebolehlaksanaan pembangunan loji ammonia dan urea rendah karbon di Bintulu, dengan nilai pelaburan sekitar RM5 bilion hingga RM6 bilion menjelang tahun 2030.
“Bagi soalan yang kedua, disentuh oleh Yang Berhormat Batang Sadong, pertama, mengenai pengkomersialan R&D tempatan. Pelan Hala Tuju HETR MOSTI memperkukuh kerjasama tiga hala antara institusi penyelidikan, universiti, dan juga pihak industri.
“Strategi utama kita adalah menterjemahkan hasil penyelidikan tempatan kepada produk komersial bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi luar.
“Kedua, bentuk kerjasama strategik bersama kerajaan Sarawak bagi memastikan Sarawak benar-benar muncul sebagai hab hidrogen hijau di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee di Dewan Rakyat mengenai penyelarasan HETR bagi memastikan Sarawak bukan sahaja mengeksport hidrogen, tetapi turut menghasilkan ammonia hijau untuk bekalan baja domestik.
Menurut Datuk Dr Mohammad Yusof, projek hab hidrogen hijau di Terengganu menjadi projek perintis hidrogen di Semenanjung dengan sasaran pengeluaran sehingga 2.5 juta tan hidrogen hijau setahun menjelang 2050.