Iran lanjutkan khidmat Amir Ghalenoei

Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei / REUTERS

TEHRAN, 13 Julai – Persekutuan Bola Sepak Iran melanjutkan khidmat ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Amir Ghalenoei sehingga saingan Piala Asia di Arab Saudi pada Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran Mehdi Taj mengesahkan khidmat Ghalenoei dan menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.
  • Persekutuan menerima pelan perancangan Ghalenoei serta beberapa pelan pembangunan untuk pasukan kebangsaan.
  • Kem latihan pusat untuk jendela antarabangsa FIFA akan bermula tidak lama lagi.
  • Iran diundi dalam Kumpulan C bersama Syria, Kyrgyzstan dan China; Piala Asia bermula 7 Januari, final di Riyadh 5 Februari.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj yang dipetik oleh akhbar Tehran Times pada Ahad, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan ketua jurulatih berkenaan.

“Ghalenoei akan kekal sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan. Pihak persekutuan juga telah menerima pelan perancangan beliau bagi menghadapi saingan Piala Asia AFC nanti.

“Kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi jendela antarabangsa FIFA yang akan datang bakal bermula tidak lama lagi. Selain beberapa pelan pembangunan lain yang telah dirancang untuk pasukan kebangsaan kita,” kata Mehdi Taj.

Ghalenoei, yang membimbing pasukannya mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut pada kempen Piala Dunia baru-baru ini sebelum terlepas slot ke pusingan kalah mati, telah mengemudikan Iran sejak tahun 2023.

Pelanjutan kontrak itu menyaksikan Ghalenoei meneruskan tugas bersama Iran, selepas sebelum ini berjaya membawa pasukan itu mara ke peringkat suku akhir Piala Asia 2007 dan separuh akhir edisi 2023.

Edisi Piala Asia yang seterusnya dijadualkan membuka tirai pada 7 Januari depan, manakala aksi perlawanan akhir akan berlangsung di Riyadh pada 5 Februari, dengan Iran diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Syria, Kyrgyzstan dan China.

Iran merupakan pemenang gelaran juara benua itu sebanyak tiga kali.

Kali terakhir Iran menjulang Piala Asia adalah pada tahun 1978. – REUTERS