Presiden Singapura tiba di Malaysia untuk lawatan negara tiga hari

Presiden Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Jane Ittogi Shanmugaratnam, tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, kira-kira pukul 9.19 malam tadi./ RTM

SEPANG, 12 Julai – Presiden Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Jane Ittogi Shanmugaratnam, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan Lawatan Negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan Negara pertama Tharman ke Malaysia sejak angkat sumpah sebagai Presiden Singapura ke-9.
  • Lawatan ini merupakan timbal balik kepada Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
  • Lawatan menzahirkan hubungan rapat dan komitmen memperkukuh kerjasama, dengan Singapura kekal rakan dagang terbesar ASEAN bagi Malaysia.

Pesawat khas yang membawa beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 9.19 malam.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Pemimpin itu kemudian diberikan istiadat kawalan kehormatan statik di Kompleks Bunga Raya, yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diketuai oleh Kapten Muhammad Hanafi Ja’afar.

Lawatan ini merupakan Lawatan Negara pertama Tharman ke Malaysia sejak mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Singapura yang ke-9 pada 14 September 2023.

Lawatan berkenaan diadakan sebagai timbal balas kepada Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.

Tharman turut diiringi Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Zhulkarnain Abdul Rahim, Datuk Bandar Daerah Tengah Singapura, Denise Phua, serta pegawai kanan daripada Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Singapura.

Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Tharman akan diberikan Istiadat Sambutan Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Beliau turut dijadualkan menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.

Lawatan peringkat tertinggi ini melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara serta mencerminkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan rakan dagang terbesar negara dalam kalangan anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, nilai perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2025.