Johor isytihar esok sebagai Hari Cuti Peristiwa

Datuk Onn Hafiz ketika istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene, petang tadi./ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok, 13 Julai, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh negeri sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengisytiharan dibuat atas limpah perkenan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
  • PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional memenangi 48 daripada 56 kerusi, memperoleh majoriti dua pertiga.
  • Menteri Besar merafakkan sembah dan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail.
  • Datuk Onn Hafiz berjanji melaksanakan amanah dengan taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat atas limpah perkenan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Suka saya kongsikan, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor. Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.

Dalam hantaran sama, beliau turut menzahirkan sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata beliau akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor. Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.

“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor. Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Terdahulu, Datuk Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.