
KANGAR, 12 Julai – Sebanyak 665 pek darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah Khas yang berlangsung sembilan hari yang berakhir semalam di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah.
- Kempen derma darah melebihi sasaran 500 pek darah sambil menyemarakkan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri.
- Usaha bersepadu NGO, pengamal perubatan, syarikat korporat dan pemimpin setempat memastikan bekalan darah mampan dan selamat di hospital.
- Penderma menerima pek cenderahati dan kupon; program derma darah dijalankan sepanjang tahun untuk mengekalkan stok pada paras selamat.
Jumlah berkenaan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 500 pek darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perlis yang bertemakan “Setitis Darah, Demi Kemanusiaan, Derma Darah Selamatkan Nyawa”.
Menurut Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah, Dr Mohammad Illiyas Habulat, usaha bersepadu yang melibatkan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan, pengamal perubatan, syarikat korporat serta pemimpin setempat menyumbang kepada usaha mengekalkan bekalan darah yang mampan dan selamat di Hospital Tuanku Fauziah.
“Setiap sumbangan darah yang diberikan membawa harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan, selain membantu menyelamatkan nyawa serta memberikan peluang kedua kepada mereka yang berdepan situasi kritikal,” katanya.
Bersempena kempen itu, lebih 500 pek cenderahati yang mengandungi pelbagai barangan serta kupon menarik turut disediakan kepada penderma yang tampil menyumbangkan darah.
Program derma darah akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun dengan harapan stok bekalan darah sentiasa berada pada paras yang selamat.