
MELAKA, 12 Julai- Banjir yang melanda Bukit Rambai disifatkan penduduk sebagai antara yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu apabila air menenggelami kediaman mereka sehingga awal pagi tadi.
- Cuaca cerah hari ini membolehkan penduduk pulang selepas air mulai surut.
- Penduduk mula mengemas dan membuang barangan rumah yang tidak boleh digunakan.
- Agensi berkaitan beri bantuan malam tadi dan menghantar anggota untuk cuci rumah pagi ini.
- Seramai 962 penduduk daripada 307 keluarga ditempatkan di tujuh PPS: 4 Melaka Tengah, 2 Alor Gajah, 1 Jasin.
Bagaimanapun, cuaca cerah hari ini membolehkan penduduk di kawasan terjejas pulang ke kediaman masing-masing untuk kerja pembersihan.
Penduduk, Hafiz Sufian berkata banjir kali ini antara terburuk pernah dialaminya sehingga menjejaskan kediaman dan menyebabkan banyak barangan rumah rosak.
“Air mula surut kira-kira pukul 5.00 pagi tadi. Hari ini barulah kami dapat mula mengemas rumah, termasuk membuang barangan yang rosak dan tidak lagi boleh digunakan.
“Kawasan ini memang sering dilanda banjir, tetapi kali ini paling teruk pernah kami alami,” katanya ketika ditemui RTM hari ini.
Sementara itu, Nasrun Faiz Zailan berkata kejadian banjir kali ini memberi kesan besar kepada penduduk apabila kerja pembersihan kediaman memerlukan bantuan.
“Mereka (agensi berkaitan) memberi bantuan malam tadi dan pagi ini turut menghantar anggota untuk membantu mencuci rumah saya. Alhamdulillah, bantuan itu sangat melegakan.
“Sebelum ini pernah berlaku banjir pada 2022, tetapi kali ini berlaku lagi,” katanya.
Bagi Tawil Buang, banjir kali ini turut memberi kesan lebih besar berbanding kejadian sebelum ini apabila ahli keluarganya masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sementara menunggu keadaan kembali selamat.
“Keluarga saya masih berada di sana (PPS). Saya dimaklumkan rakan-rakan bahawa air di sini sudah surut dan kenderaan sudah boleh masuk, jadi saya pulang seorang diri.
“Sebelum ini memang pernah berlaku banjir, tetapi tidak seteruk kali ini,” katanya.
Seramai 962 penduduk daripada 307 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS iaitu empat di Melaka Tengah, dua di Alor Gajah dan satu di Jasin.