
PADANG BESAR , 12 Julai – Seramai 42,000 asnaf direkodkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di seluruh negeri Perlis.
- Peruntukan pelbagai inisiatif zakat: sara hidup, perubatan, perumahan, pelajaran, dakwah dan pendidikan.
- MAIPs memperuntuk lebih RM5 juta melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs untuk Latihan TVET dan penempatan pekerjaan.
- Sehingga kini seramai 1,500 pelajar berjaya memperolehi pekerjaan melalui inisiatif ATAM.
- Agihan zakat RM105,000 kepada 150 asnaf disempurnakan Raja Muda, menzahirkan program berterusan ringankan beban dan kukuhkan silaturahim.
Golongan berkenaan menerima pelbagai inisiatif skim agihan dan bantuan zakat terkini seperti sara hidup, perubatan, perumahan, pelajaran, dakwah dan pendidikan.
Dari sudut pemerkasaan asnaf, lebih RM5 juta agihan zakat MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) diperuntuk menerusi Program Latihan TVET dan Penempatan Pekerjaan kepada anak-anak asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataannya berkata sehingga kini seramai 1,500 pelajar telah berjaya memperolehi pekerjaan melalui inisiatif berkenaan.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Penyampaian Agihan Zakat berjumlah RM105,000 kepada 150 asnaf terpilih yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail di Masjid Al-Huda, Felda Mata Air di sini.
Program Agihan Zakat MAIPs sebegini merupakan inisiatif berterusan MAIPs dalam menyantuni golongan asnaf serta meringankan beban kos sara hidup mereka di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi zakat dengan masyarakat setempat.