Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mulakan rundingan dengan Klopp

Jurgen Klopp kini calon utama Ketua Jurulatih Jerman / AFP

NEW YORK, 12 Julai – Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) kini dilaporkan semakin hampir untuk memujuk Jurgen Klopp bagi mengisi kekosongan kerusi ketua jurulatih Jerman yang ditinggalkan oleh Julian Nagelsmann, susulan prestasi hambar skuad Die Mannschaft di Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • DFB mengesahkan barisan kepimpinan tertinggi berada di New York untuk mengadakan perbincangan bersama Klopp.
  • Klopp kini memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global Red Bull dan berkhidmat sebagai pengulas Magenta TV di Piala Dunia.
  • Nagelsmann meletak jawatan selepas Jerman disingkirkan oleh Paraguay, dan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kerjasama.
  • Klopp jurulatih berjaya; pernah menjuarai liga domestik, Piala Jerman, Liga Juara Eropah dan Liga Perdana bersama kelabnya.

Langkah itu susulan pengesahan DFB pada Sabtu bahawa barisan kepimpinan tertinggi badan induk itu kini berada di New York bagi mengadakan perbincangan bersama Klopp.

Mereka melahirkan keyakinan tinggi untuk memeterai perjanjian dengan bekas pengurus Liverpool itu.

Klopp, yang kini memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global Red Bull, berada di New York bertugas sebagai pengulas bagi saluran Magenta TV Jerman sepanjang kejohanan Piala Dunia.

Awal bulan ini, DFB mengesahkan bahawa Klopp merupakan calon pilihan utama untuk menggantikan Nagelsmann, yang melepaskan jawatan selepas Jerman ditunjukkan jalan keluar oleh Paraguay di pusingan 32 terbaik.

Kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay itu menandakan kempen Piala Dunia ketiga berturut-turut yang mengecewakan buat juara dunia empat kali itu, selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.

Kali terakhir Jerman menjulang trofi berkenaan adalah pada 2014.

Nagelsmann pada awalnya menyatakan hasrat untuk kekal membimbing pasukan sehingga kontraknya tamat pada 2028, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kerjasama beberapa hari selepas skuad kebangsaan pulang ke tanah air.

Klopp dianggap sebagai pilihan paling popular dalam kalangan peminat bola sepak Jerman, namun sering mencetuskan kontroversi pada awal saingan Piala Dunia sehingga terpaksa memohon maaf selepas membayangkan tempoh perkhidmatan Nagelsmann bersama skuad kebangsaan sudah hampir tamat.

Sebagai antara jurulatih kelab Jerman paling berjaya, Klopp yang pernah menjulang kejuaraan liga domestik dan Piala Jerman bersama Borussia Dortmund, mengendalikan Liverpool dari 2015 hingga 2024.

Beliau memimpin kelab Merseyside itu memenangi hampir kesemua trofi utama sepanjang tempoh sembilan tahun, termasuk kejuaraan Liga Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.