
MIAMI, 12 Julai – Ketua Jurulatih England, Thomas Tuchel menyifatkan skuad bimbingannya “bernasib baik” selepas berjaya melepasi ranjau suku akhir selepas menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
- Tuchel jelas tidak puas hati dengan corak permainan pasukan, mengkritik komitmen dan cara beraksi yang terlalu selamat.
- Jude Bellingham mencetak dua gol untuk memastikan kebangkitan dramatik skuad Three Lions.
- England akan menentang Argentina atau Switzerland di Atlanta, masih memburu tempat ke perlawanan akhir selepas 60 tahun.
- Tuchel menegaskan pemain perlu segera memperbaiki kualiti; cuma ada tiga hari untuk bersedia sebelum pusingan seterusnya.
Kemenangan tersebut bagaimanapun gagal menggembirakan Tuchel yang jelas berang dengan persembahan anak buahnya, meskipun dua gol daripada Jude Bellingham memastikan satu lagi kebangkitan dramatik buat skuad Three Lions di Stadium Hard Rock, Miami.
“Kami menyusahkan diri sendiri hari ini. Keputusan ini sememangnya menakjubkan dan melangkah ke kelompok empat terakhir adalah sesuatu yang mengujakan. Namun saya sama sekali tidak berpuas hati dengan corak permainan kami.
“Komitmen daripada pemain itu ada, tetapi cara kami beraksi sangat menyukarkan pasukan. Permainan kami longgar, terlalu banyak bermain selamat, hantaran tidak cukup laju dan serba tidak menjadi.
“Kita bernasib baik hari ini,” katanya yang ditemui sejurus tamat perlawanan.
England kini dijadualkan menentang sama ada Argentina atau Switzerland di Atlanta Rabu ini dalam misi memburu tiket ke pentas akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.
Menyedari cabaran getir yang menanti di pusingan seterusnya, Tuchel menegaskan barisan pemainnya tiada pilihan selain meningkatkan kualiti permainan dengan segera sekiranya mahu melangkah lebih jauh.
“Kami perlu menjadi lebih baik. Buat masa ini, kami akan meraikan kejayaan ini dahulu dan memanfaatkannya. Kami mempunyai masa tiga hari untuk bersedia,” tambah Tuchel. – AFP