Jepun berjaya uji roket boleh diguna semula

Prototaip roket boleh diguna semula RV-X milik JAXA berjaya melengkapkan ujian pelancaran dan pendaratan di Noshiro, Jepun/Foto AFP

TOKYO, 11 Julai – Jepun mencatat satu lagi pencapaian dalam teknologi angkasa lepas apabila prototaip roket boleh diguna semula berjaya melengkapkan ujian pelancaran dan pendaratan pertamanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAXA melancarkan prototaip dari Noshiro, Akita; mencapai kira-kira 10 meter dan mendarat dengan selamat.
  • Ujian 40 saat itu bertujuan mengumpul data untuk membangunkan roket boleh diguna semula dan kurangkan kos pelancaran.
  • Ketua projek Takashi Ito berkata kejayaan memberi kelegaan setelah tempoh pembangunan panjang.
  • Kejayaan menyediakan data penting dan meletakkan negara lebih hampir memperkukuh daya saing industri angkasa berbanding peneraju seperti SpaceX.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) memaklumkan prototaip itu dilancarkan dari tapak ujian di Noshiro, wilayah Akita, sebelum mencapai ketinggian kira-kira 10 meter dan mendarat dengan selamat.

Menurut JAXA, ujian yang berlangsung kira-kira 40 saat itu bertujuan mengumpul data bagi pembangunan teknologi roket boleh diguna semula yang mampu mengurangkan kos pelancaran.

Ketua projek, Takashi Ito berkata kejayaan itu memberi kelegaan kepada pasukan penyelidik selepas melalui tempoh pembangunan yang panjang.

“Kami telah meluangkan banyak masa dan usaha untuk projek ini. Melihat prototaip berjaya berlepas dan mendarat tanpa sebarang masalah memberi kelegaan yang amat besar,” katanya.

Beliau berkata JAXA akan meneliti data ujian bagi menilai prestasi keseluruhan prototaip, namun yakin ujian itu berjaya menghasilkan data penting untuk pembangunan seterusnya.

Kejayaan itu meletakkan Jepun selangkah lebih hampir dalam usaha memperkukuh daya saing industri angkasa lepas negara, ketika teknologi roket boleh diguna semula kini diterajui syarikat Amerika Syarikat, SpaceX.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.