Trafik Selat Hormuz terus merosot susulan ketegangan AS-Iran

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Trafik perkapalan komersial di Selat Hormuz terus merosot apabila ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak susulan kegagalan gencatan senjata yang dicapai sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Firma data Kpler lapor jumlah kapal melalui Selat Hormuz turun kepada 22 buah, berbanding 30 sehari sebelum.
  • Peningkatan ketegangan AS dan Iran menjejaskan keyakinan syarikat perkapalan terhadap kestabilan laluan minyak dan gas.
  • Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dijadual lawat Oman bagi membincangkan langkah keselamatan pelayaran di Selat Hormuz.
  • Iran dan AS memeterai memorandum persefahaman 18 Jun, namun kedua pihak saling menuduh melanggar perjanjian itu.

Firma data maritim, Kpler, dalam laporannya pada Jumaat memaklumkan jumlah kapal yang melalui laluan strategik itu menurun kepada 22 buah pada Khamis berbanding 30 buah sehari sebelumnya, sekali gus merekodkan penyusutan trafik bagi hari kedua berturut-turut.

Menurut Kpler, peningkatan semula konflik ketenteraan antara AS dan Iran menjejaskan keyakinan syarikat perkapalan terhadap kestabilan di Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dijadual mengadakan lawatan ke Oman pada Sabtu bagi membincangkan langkah memastikan pelayaran di Selat Hormuz kekal selamat, ketika usaha diplomatik diteruskan untuk meredakan ketegangan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata beberapa rundingan teknikal telah diadakan di Tehran dan Muscat sebagai sebahagian daripada usaha menyelaras keselamatan pelayaran di laluan berkenaan.

Pada 18 Jun lalu, Iran dan AS memeterai memorandum persefahaman bagi meredakan konflik serta memastikan pelayaran di Selat Hormuz dapat diteruskan. Namun, ketegangan kembali meningkat selepas kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian itu, sekali gus menjejaskan keyakinan industri perkapalan terhadap keselamatan laluan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.