Produk babi sejuk beku tanpa permit bernilai RM6.19 juta dirampas

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri/Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sindiket penyimpanan makanan sejuk beku tidak sah berjaya ditumpaskan menerusi Op Taring Chiller di sekitar daerah Miri, membabitkan rampasan bernilai RM6.19 juta semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan besar produk babi sejuk beku termasuk 30,000 kg usus, 18,000 kg daging dan 750 kg daging; seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan kompaun RM25,000 dikeluarkan.
  • WCB/PSK melaksanakan 201 serbuan sehingga 10 Julai dengan 375 tangkapan; nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM264,864,070.51.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan 8 malam itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Miri.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati 30,000 kilogram (kg) usus besar babi sejuk beku yang telah dimasak, 15 palet daging babi (18,000 kg) dan satu palet daging babi (750 kg) ditemui.

“Operasi tersebut turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohd Yusri berkata pihaknya juga menyita palet produk perut babi dan palet daging bahagian bahu babi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan 9(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan satu kompaun sebanyak RM25,000.00 dikeluarkan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lepas, WCB/PSK JKDNKA melaksanakan 201 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan seramai 375 individu.

Menurutnya, operasi sepanjang tempoh itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, makanan sejuk beku, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM264,864,070.51.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan demi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.