Laluan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao kurangkan sesak di sempadan

Foto PMO

BUKIT KAYU HITAM, 10 Julai – Laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand adalah hasil usaha bersama Malaysia-Thailand yang akan memudahkan perjalanan rentas sempadan dan pergerakan barangan, selain
mengurangkan kesesakan di pintu sempadan berkenaan, kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan memperkukuh kesalinghubungan antara Songkhla-Kedah, Satun-Perlis dan Narathiwat-Kelantan.
  • Kesalinghubungan lebih baik dijangka merancakkan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk sempadan.
  • Perdana Menteri mengucapkan penghargaan atas layanan semasa lawatan rasmi dan membawa delegasi menteri untuk manfaat bersama.
  • Kedua-dua negara mencapai persefahaman isu perikanan melalui menteri pertanian; beberapa hari diperlukan untuk urusan dokumentasi.

Anutin berkata berkata, kedua-dua negara turut membincangkan beberapa inisiatif untuk memperkukuh kesalinghubungan antara Songkhla dan Kedah, Satun dan Perlis serta Narathiwat dan Kelantan.

Jelasnya, kesalinghubungan lebih baik mampu merancakkan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk yang tinggal di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Saya bersama delegasi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala layanan yang telah diberikan kepada kami sepanjang lawatan rasmi ke Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

“Kami semua menantikan majlis perasmian jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks CIQ Sadao yang baharu dengan ICQS Bukit Kayu Hitam pada pagi tadi.

“Seperti yang saya nyatakan semalam, saya membawa bersama sejumlah menteri ke Kuala Lumpur kerana kami mahu mencapai perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua negara berikrar sedaya upaya untuk membawa keamanan ke kawasan sempadan negara dalam tempoh pentadbiran masing-masing.

Selain itu, Anutin berkata, kedua-dua negara mencapai persefahaman berhubung isu perikanan menerusi perbincangan antara menteri pertanian kedua-dua negara dan masih memerlukan sedikit masa untuk beberapa urusan dokumentasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.