Terap akhlak seiring perkembangan teknologi – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

TANGKAK, 10 Julai – Penggunaan teknologi moden dan disiplin ilmu baharu perlu seiring dengan penerapan nilai akhlak serta integriti dalam melahirkan generasi yang berupaya menyumbang kepada kemajuan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakan penerokaan bidang masa depan seperti AI, teknologi digital dan pengkomputeran kuantum demi kemajuan negara.
  • Penimbaan ilmu mesti selari dengan keimanan dan akhlak agar ilmu digunakan untuk mencari kebenaran dan menjadi manusia yang baik.
  • Ketidakseimbangan ilmu dan etika membahayakan; kecerdasan tanpa moral boleh menyebabkan penyelewengan dan meruntuhkan ekosistem masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya amat menggalakkan penerokaan bidang masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pengkomputeran kuantum.

Bagaimanapun, beliau berkata pencapaian ilmu itu tidak akan bermakna jika tidak selari dengan keimanan dan benteng moral yang utuh.

“Tetapi kita ini harus tahu menimba ilmu itu… pertama adalah supaya untuk mencari kebenaran. Ya… untuk menjadi manusia yang baik. Menimba ilmu itu untuk pintar, betul, tetapi untuk menjadi manusia yang baik.

“Ada orang pintar, dalam sejarah kita pun ada pintar, tapi pintar mencuri. Pintar merompak. Jadi kalau kekayaan negara bagaimana pun, kalau dia pintar, negara rosak.

“Ada orang umpamanya pandai tipu helah. Dengan ilmu! Jadi akhirnya apa yang berlaku adalah ilmu itu digunakan bukan untuk menegakkan yang hak, tetapi merosakkan masyarakat”, katanya.

Beliau berucap pada Program Sentuhan Sahabat MADANI di Bukit Gambir di sini, hari ini.

Tambahnya, ketidakseimbangan ilmu pengetahuan dan etika dibimbangi akan meruntuhkan ekosistem masyarakat terutama apabila terdapat individu bijak yang menyalahgunakan kepintarannya untuk tujuan penyelewengan serta khianat.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.