Sebarang pelarasan OPR bergantung kepada data ekonomi semasa – BNM

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sebarang pelarasan terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dibuat berdasarkan perkembangan terkini pertumbuhan ekonomi dan inflasi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pada paras semasa 2.75 peratus, OPR dianggap sesuai dan selari dengan trajektori pertumbuhan ekonomi serta inflasi Malaysia.
  • BNM memantau data DOSM serta petunjuk berfrekuensi tinggi; akan membuat pelarasan dasar jika prospek pertumbuhan atau inflasi berubah.
  • Tekanan harga dijangka meningkat sedikit tetapi kekal terkawal; subsidi bahan api dan permintaan sederhana mengehadkan pemindahan kos.

Beliau berkata, pada paras semasa 2.75 peratus, OPR kekal sesuai dan sejajar dengan trajektori pertumbuhan ekonomi serta inflasi Malaysia.

“Kami memantau pelbagai petunjuk ekonomi dengan sangat teliti. Sekiranya terdapat perubahan dalam prospek pertumbuhan dan inflasi, kami akan membuat pelarasan. Itulah prinsip utama yang memandu dasar monetari kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jangkaan beberapa penganalisis bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mungkin menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada mesyuarat September atau November sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi unjuran.

Menurut Datuk Seri Abdul Rasheed, BNM sentiasa memantau keadaan ekonomi menggunakan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta pelbagai petunjuk ekonomi berfrekuensi tinggi bagi menilai prestasi ekonomi semasa secara masa nyata.

Katanya, antara petunjuk yang dipantau ialah transaksi pembayaran harian, pembelian kenderaan dan penggunaan elektrik, yang membolehkan bank pusat memperoleh gambaran semasa mengenai aktiviti ekonomi serta bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan trend.

Mengulas mengenai inflasi, Abdul Rasheed berkata tekanan harga dijangka meningkat sedikit dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan kenaikan harga bahan api global serta tekanan kos lain.

Bagaimanapun, beliau berkata inflasi dijangka kekal terkawal dan berada dalam julat unjuran BNM.

“Kami melihat kenaikan harga tidak berlaku secara meluas atau berterusan. Justeru, tekanan inflasi masih terkawal,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi berterusan bagi petrol RON95 serta pengecualian bersasar subsidi diesel telah membantu mengurangkan kesan peningkatan kos terhadap pengguna, manakala permintaan domestik yang sederhana mengehadkan keupayaan syarikat untuk memindahkan sepenuhnya kenaikan kos kepada pengguna.

Menurutnya, walaupun kira-kira 80 peratus pengeluar melaporkan peningkatan kos input, kebanyakannya masih mampu menyerap sebahagian daripada kenaikan itu dan hanya sebilangan kecil memindahkan keseluruhan kos kepada pengguna.

Datuk Seri Abdul Rasheed berkata inflasi mungkin melepasi sementara had atas julat unjuran BNM pada bulan-bulan tertentu tahun ini, namun dijangka kembali sederhana selepas itu dan kekal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus bagi keseluruhan tahun.

Beliau menegaskan dasar monetari BNM akan terus dipandu oleh data ekonomi semasa bagi memastikan kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.