Malaysia-Thailand sasar perdagangan AS$30 bilion menjelang 2027, perkukuh kerjasama strategik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra selepas memberi kenyataan bersama di Bangunan Perdana Putra semalam./ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Julai – Malaysia dan Thailand menyasarkan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$30 bilion (kira-kira RM127.5 bilion) menjelang 2027, selain bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sempadan, keselamatan, pengangkutan, pertanian, pendidikan serta ekonomi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sempadan, keselamatan, pengangkutan, pertanian, pendidikan dan ekonomi digital.
  • Menggiatkan projek kesalinghubungan termasuk CIQ Sadao-Bukit Kayu Hitam, koridor rel Ipoh-Padang Besar-Hat Yai dan projek pelabuhan serta jambatan sempadan.
  • Memperhebat kerjasama keselamatan sempadan untuk membanteras jenayah rentas negara seperti penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah.
  • Memeterai MoU pertanian, memperkukuh kerjasama tenaga hijau, ekonomi digital dan pendidikan TVET serta menyokong Proses Dialog Keamanan.

Komitmen itu dimeterai menerusi Kenyataan Bersama yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selama dua hari bermula semalam.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Kedua-dua Perdana Menteri menyatakan kepuasan terhadap hubungan persahabatan, kerjasama dan semangat kejiranan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, serta menegaskan semula komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dalam semua bidang berkepentingan bersama, sama ada di peringkat dua hala mahupun ASEAN, demi kemakmuran dan kemajuan bersama kedua-dua negara serta rantau ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Dalam bidang ekonomi, kedua-dua negara mengalu-alukan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dua hala serta berikrar untuk mempergiat kerjasama bagi mencapai sasaran perdagangan sebanyak AS$30 bilion menjelang tahun depan.

“Kedua-dua pihak mengalu-alukan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dua hala serta berikrar untuk meningkatkan kerjasama bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan delegasinya, semalam./ BERNAMA

Bagi memperkukuh pembangunan kawasan sempadan, Malaysia dan Thailand bersetuju meningkatkan kerjasama ekonomi di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia bagi merangsang pembangunan serta meningkatkan taraf hidup penduduk.

“Kedua-dua pihak mengiktiraf potensi ekonomi yang besar di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia serta akan meningkatkan kerjasama dalam semua bidang bagi menggalakkan pembangunan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan sempadan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua negara turut mengalu-alukan penyempurnaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah yang akan dirasmikan hari ini oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Selain itu, kedua-dua negara menyambut baik usaha memperkukuh jaringan kereta api berkembar di koridor Ipoh-Padang Besar-Hat Yai, pengoperasian penuh Pelabuhan Darat Perlis (PIP), kemajuan projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang Kedua, cadangan menghidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok serta perkhidmatan feri antara Satun dan Kuala Perlis.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan delegasinya mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam./ BERNAMA

Malaysia dan Thailand juga bersetuju mengadakan Mesyuarat Sulung Jawatankuasa Menteri Bersama mengenai Kerjasama Pengangkutan (JMC) di Malaysia tahun ini bagi memperkukuh penyelarasan semua projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

Dalam aspek keselamatan, kedua-dua negara bersetuju memperhebat kerjasama pengurusan sempadan dan membanteras jenayah rentas negara termasuk penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah serta penyeludupan hidupan liar dan kayu balak.

“Kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh usaha dalam pengurusan sempadan serta kerjasama membanteras jenayah terancang rentas negara, termasuk penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah serta penyeludupan hidupan liar dan kayu balak,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras projek pembinaan tembok keselamatan di Sungai Golok, selain memperkukuh kerjasama teknikal dalam pengurusan sumber air bagi menyokong ramalan dan pemantauan banjir di kawasan sempadan.

Mengenai perkembangan di Wilayah Sempadan Selatan Thailand, kedua-dua pemimpin mengulangi sokongan terhadap Proses Dialog Keamanan, manakala Thailand merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya sebagai fasilitator.

“Perdana Menteri Thailand merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia atas peranan Malaysia yang ikhlas dan konstruktif dalam memudah cara Proses Dialog Keamanan,” menurut kenyataan itu.

Dalam bidang pertanian, kedua-dua negara menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertanian yang menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam aspek keselamatan makanan, penyelidikan, inovasi, pembangunan kapasiti serta pembangunan pertanian mampan.

Kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga, ekonomi hijau, tindakan iklim, ekonomi digital, industri teknologi tinggi, keselamatan makanan dan industri halal.

Dalam bidang sosial, Malaysia dan Thailand akan memperluas kerjasama pelancongan melalui jaringan pengangkutan darat, rel, udara dan laut yang lebih baik, selain memperkukuh kerjasama pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Di peringkat serantau, kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh perpaduan dan kepusatan ASEAN dalam mempromosikan keamanan, kestabilan serta pembangunan di rantau ini.

“Kedua-dua Perdana Menteri mengulangi komitmen bersama untuk terus memperkukuh perpaduan dan kepusatan ASEAN dalam mempromosikan keamanan, kestabilan serta pembangunan di rantau ini,” menurut kenyataan bersama itu lagi.

Perdana Menteri Thailand turut menjemput Datuk Seri Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Thailand pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.