
BOSTON, 10 JULAI – Perancis tidak boleh leka dengan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026, sebaliknya perlu kekal fokus memburu gelaran juara ketiga selepas menewaskan Maghribi 2-0 pada Khamis.
- Mbappe tekankan misi Perancis belum selesai; pasukan hanya puas jika memenangi kejohanan.
- Perancis mara ke separuh akhir selepas menewaskan Maghribi 2-0.
- Mbappe terlepas penalti babak pertama tetapi menebusnya dengan gol pada minit ke-60.
- Beliau dikeluarkan lewat perlawanan akibat hentakan buku lali tetapi mengesahkan kecederaan tidak serius.
Ketua pasukan Les Bleus, Kylian Mbappe mengakui cabaran sebenar masih belum berakhir dan mereka hanya boleh berpuas hati sekiranya berjaya menjulang trofi kejuaraan.
“Saya tidak tahu sama ada kami boleh dikatakan sedang berada dalam satu misi. Itu mungkin istilah yang mudah digunakan. Tetapi kami sedar satu-satunya cara untuk berpuas hati ialah dengan memenangi kejohanan ini.
“Kami gembira kerana berjaya ke separuh akhir, namun perjalanan masih panjang dan kami tahu cabaran selepas ini akan menjadi lebih sukar dan kami bersedia menghadapinya,” katanya.
Dalam perlawanan suku akhir menentang Maghribi di Stadium Gillette, Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum menebus kehampaan dengan gol pembukaan pada minit ke-60.
Pemain Real Madrid itu bagaimanapun dikeluarkan pada penghujung perlawanan selepas mengalami kecederaan pada buku lali.
“Saya tidak mengalami masalah serius. Saya hanya menerima hentakan pada buku lali, tetapi saya berada dalam keadaan baik,” jelas Mbappe.
Aksi separuh akhir dijadual berlangsung di Dallas pada 14 Julai.
Perancis kini dalam misi memburu gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas muncul juara pada edisi 1998 dan 2018. – AFP