Hujan lebat punca kesesakan trafik di wilayah Delhi, tiga maut bangunan runtuh

Gambar hiasan

HYDERABAD, 10 Julai- Hujan monsun lebat sejak Rabu di ibu negara India, New Delhi dan bandar satelitnya mengakibatkan kesesakan trafik yang teruk di jalan-jalan utama serta kejadian banjir kilat di banyak tempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya tiga terkorban di Rohini selepas bangunan empat tingkat dalam pembinaan runtuh.
  • Sekitar 3,000 silinder gas memasak dihanyutkan dari loji pembotolan ke Sungai Patalganga di Raigad.
  • Kematian berkaitan hujan dilaporkan di beberapa kawasan termasuk 13 di Surat dan enam di Wayanad.

Kehidupan seharian penduduk terjejas teruk di Wilayah Ibu Negara Pengendalian (NCR) Delhi, yang merangkumi bandar Faridabad, Gurgaon, Noida, dan Ghaziabad, berikutan air hujan bertakung, lapor media tempatan pada Khamis.

Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban di kawasan Rohini di barat laut Delhi selepas sebuah bangunan empat tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh pada Rabu susulan hujan lebat berkenaan.

Hujan lebat telah melanda pelbagai wilayah di India sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan Bandar Raya Mumbai antara yang paling teruk terjejas.

Dalam satu kejadian luar biasa di Wilayah Raigad di Negeri Maharashtra, sebanyak 3,000 silinder gas memasak dihanyutkan dari sebuah loji pembotolan ke dalam Sungai Patalganga, menurut video yang tular di media sosial.

Sementara itu, 13 kematian berkaitan hujan dilaporkan berlaku di Bandar Surat yang terletak di negeri barat Gujarat.

Aliran trafik turut terjejas di lebuh raya utama di negeri utara Uttarakhand.

Di negeri selatan Kerala, tiga lagi mayat ditemukan di tapak kejadian tanah runtuh Wayanad, sekali gus menjadikan angka korban terbaharu daripada bencana pada Selasa itu meningkat kepada enam orang. -Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.