PhD bukan perjalanan sendiri: Mengapa peranan penyelia amat penting?

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik Tahun 2025 kepada Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan), Dr Putri Aliah Mohd Hidzir (kiri), pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam/ BERNAMA

SAUDARA PENGARANG,

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelia sebagai kompas akademik: membimbing dengan jelas, membina jangkaan, dan memberi maklum balas berhemah supaya pelajar kekal di landasan penyelidikan.
  • Kepekaan awal terhadap tanda burnout dan imposter syndrome, serta membantu rujukan kaunseling ketika perlu untuk selamatkan kemajuan akademik pelajar.
  • Sistem sokongan menyeluruh diperlukan: pelan kerja jelas, pengawasan berkala, sistem amaran institusi dan pelajar proaktif demi tamat tepat masa.

“Doktor, pasangan saya boleh habis PhD dalam tiga tahun ke? Saya risau, banyak sangat dengar kes tak siap.” Soalan seperti ini mungkin kedengaran ringan, tetapi ia menggambarkan kebimbangan sebenar dalam banyak keluarga.

Pengajian Sarjana dan PhD bukan sekadar soal tajuk penyelidikan, kutipan data atau tesis yang tebal. Ia juga berkait dengan masa, kewangan, kesihatan mental, kontrak tajaan dan sokongan orang sekeliling.

Dalam masyarakat, pengajian pascasiswazah sering dilihat sebagai perjalanan intelektual yang mulia. Seseorang yang melanjutkan pengajian dianggap sedang membina kepakaran, memperluas ilmu dan menyumbang kepada negara.

Namun di sebalik gelaran ‘calon PhD’ atau ‘pelajar Sarjana’, ada perjalanan sunyi yang tidak selalu difahami. Bagi yang menerima tajaan atau pinjaman pendidikan, kegagalan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan boleh membawa kesan besar.

Ia bukan sahaja menjejaskan kerjaya, malah boleh mengundang tuntutan kewangan berdasarkan syarat kontrak. Kisah sebegini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi menjadi peringatan bahawa pengajian pascasiswazah memerlukan perancangan, disiplin dan sistem sokongan yang kukuh.

Di sinilah peranan penyelia atau supervisor menjadi sangat penting. Penyelia bukan sekadar individu yang menyemak tesis, membetulkan metodologi atau menandatangani borang kemajuan. Dalam banyak keadaan, penyelia ialah kompas akademik yang membantu pelajar kekal di laluan yang betul.

Namun, kompas tidak berjalan bagi pihak pengembara. Penyelia tidak boleh menulis tesis bagi pihak pelajar. Pelajar tetap perlu membaca, menulis, hadir perbincangan, mengurus masa dan bertanggungjawab terhadap penyelidikannya.

Hubungan penyeliaan yang sihat ialah hubungan dua hala: penyelia membimbing, pelajar bergerak. Cabaran pengajian pascasiswazah biasanya tidak berlaku secara lurus. Ada pelajar laju pada semester awal, tetapi mula perlahan selepas pembentangan cadangan penyelidikan. Ada yang tersekat ketika kutipan data.

Ada pula yang hilang arah apabila draf tesis dipulangkan dengan terlalu banyak pembetulan. Bayangkan seorang calon PhD yang tiga bulan tidak menghantar draf. Di skrin penyelia, namanya masih ada dalam senarai pelajar aktif.

Tetapi di rumah, dia sedang bergelut dengan rasa malu, tekanan keluarga, hutang masa dan ketakutan untuk membuka semula fail tesisnya. Inilah fasa yang memerlukan kepekaan. Keadaan burnout, hilang motivasi atau krisis keyakinan jarang muncul secara tiba-tiba.

Selalunya ada tanda awal. Pelajar mula mengelak perjumpaan, lambat membalas e-mel, kerap membatalkan sesi penyeliaan atau menarik diri daripada komuniti akademik.

Ada juga tanda yang lebih halus. Prestasi akademik mula merosot, tugasan tertangguh berulang kali, minat terhadap kajian semakin pudar, atau pelajar mula meluahkan kata- kata seperti “kajian saya sudah tidak bermakna” dan “saya rasa tidak mampu teruskan.”

Dalam dunia akademik, fenomena ini boleh dikaitkan dengan burnout dan imposter syndrome, iaitu perasaan seolah-olah diri tidak layak berada dalam ruang akademik walaupun sebenarnya mempunyai kemampuan.

Jika tidak ditangani, pelajar boleh terus tenggelam dalam rasa gagal sebelum sempat dibantu. Namun, penyelia juga manusia. Mereka mempunyai beban pengajaran, penyelidikan, pentadbiran, penerbitan dan tanggungjawab institusi. Sebab itu, isu penyeliaan tidak boleh diletakkan di bahu penyelia semata-mata.

Ia memerlukan ekosistem yang menyokong: pelajar yang proaktif, penyelia yang jelas, institusi yang responsif dan keluarga yang memahami. Penyeliaan yang baik bermula dengan jangkaan yang jelas.

Pada pertemuan awal, penyelia dan pelajar wajar membincangkan garis masa, kekerapan perjumpaan, gaya maklum balas, sasaran penulisan dan risiko kelewatan. Perkara ini nampak kecil, tetapi boleh mengelakkan salah faham besar pada kemudian hari. Maklum balas juga perlu diberikan dengan berhemah.

Teguran akademik memang perlu, tetapi ia mesti tertumpu kepada tugasan dan proses, bukan menyerang peribadi pelajar. Ayat seperti “bahagian metodologi ini belum jelas” lebih membina berbanding “awak memang tidak faham penyelidikan.”

Pada masa yang sama, pelajar perlu dibina untuk berdikari secara berperingkat. Padasemester awal, bimbingan mungkin lebih rapat. Apabila kemahiran meningkat, pelajar diberi lebih ruang membuat keputusan akademik.

Matlamat akhir penyeliaan bukan menjadikan pelajar bergantung selamanya, tetapi membentuk sarjana yang mampu berfikir sendiri. Jadi, bolehkah seseorang menamatkan PhD dalam tiga tahun?

Jawapannya bergantung kepada tiga perkara: kejelasan hala tuju penyelidikan, disiplin pelajar dan kualiti sistem penyeliaan.

Penyeliaan yang baik bukan bermaksud penyelia perlu menyelesaikan semua masalah hidup pelajar. Sebaliknya, penyelia perlu mendengar, memahami dan membantu mengenal pasti masalah yang benar-benar menghalang kemajuan akademik.

Dalam pengalaman penyeliaan, ada calon yang hadir ke sesi pertemuan bukan dengan perkembangan kajian, tetapi dengan pelbagai masalah peribadi, keluarga atau tempat kerja. Mendengar tetap penting kerana ia boleh mengurangkan beban emosi pelajar.

Namun, selepas masalah itu diakui, penyelia perlu membantu pelajar membezakan antara masalah peribadi yang wajar dibincangkan dengan keluarga atau pihak berkaitan, dan masalah yang benar-benar menjejaskan perjalanan Sarjana atau PhD.

Jika masalah itu berkaitan masa penyelidikan, tindakan praktikal boleh diambil. Misalnya, penyelia dan pasukan penyelia boleh mengadakan perbincangan rasmi dengan ketua jabatan calon, menetapkan jadual kehadiran ke kampus, dan menyediakan pelan pertemuan berkala supaya masa penyelidikan lebih terlindung.

Di sinilah pentingnya sempadan profesional. Penyelia bukan kaunselor, bukan ahli keluarga dan bukan pengurus kehidupan pelajar. Namun, penyelia boleh menjadi penghubung akademik yang membantu pelajar menukar masalah besar kepada pelan tindakan yang lebih jelas.

Empat langkah wajar diberi perhatian.

Pertama, penyelia dan pelajar perlu membina pelan kerja yang jelas sejak awal, termasuk sasaran bulanan dan tarikh semakan berkala.

Kedua, institusi perlu menyediakan sistem amaran awal bagi pelajar yang tidak aktif, lewat menghantar kemajuan atau menunjukkan tanda risiko keciciran.

Ketiga, maklum balas penyeliaan perlu bersifat membina, khusus dan boleh ditindak, bukan sekadar kritikan umum yang melemahkan semangat.

Keempat, apabila tanda tekanan mental semakin jelas, penyelia perlu membantu pelajar mendapatkan sokongan kaunseling atau kesihatan universiti.

Penyelia ialah pembimbing akademik, bukan pakar rawatan. Akhirnya, PhD dan Sarjana bukan perjalanan seorang diri.

Ia perjalanan ilmu yang memerlukan disiplin, kejujuran, ketahanan dan jaringan sokongan. Kejayaan menamatkan pengajian pada waktunya bukan hanya menyelamatkan tesis, tetapi juga masa depan kerjaya, kewangan dan keyakinan diri pelajar.

Penyelia yang baik tidak menjamin semua pelajar tamat tepat waktu. Namun, penyelia yang jelas, empatik dan tegas boleh mengurangkan risiko pelajar hilang arah. Dalam dunia akademik yang semakin mencabar, penyeliaan bukan sekadar tugas pentadbiran. Ia adalah amanah membina manusia, ilmu dan masa depan negara.


Dr. Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan di Kulliyyah Perubatan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Prof. Dr Muhamad Saiful Bahri Yusoff
Ketua Jabatan dan Profesor Pendidikan Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.