Puting beliung kuat landa selatan Perancis

Imej puting beliung menghampiri rumah-rumah di perkampungan Pomas, Perancis/ AFP

POMAS, 25 Ogos- Dua individu cedera parah dan ribuan isi rumah terputus bekalan elektrik selepas puting beliung kuat melanda selatan Perancis pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kampung Pomas paling teruk; kira-kira 300 rumah rosak dan 39 orang cedera.
  • Seramai 17 orang dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa.
  • Bomba dengan 75 anggota dan unit anjing pengesan menjalankan operasi; pegawai panggil kejadian 'luar biasa dan sangat traumatik'.

Puting beliung yang melanda wilayah Aude itu paling teruk menjejaskan perkampungan di Pomas menyebabkan kira-kira 300 rumah rosak dan 39 orang cedera termasuk dua yang parah.

Seramai 17 orang dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa.

Pengendali grid elektrik, Enedis berkata sebanyak 7,250 isi rumah di seluruh wilayah Languedoc-Roussillon terputus bekalan elektrik pada awal Selasa termasuk 1,600 di Aude.

Bomba termasuk unit anjing pengesan menjalankan pemeriksaan di kawasan terjejas, manakala pasukan kecemasan bertugas sepanjang malam.

“Operasi mencari dan pemeriksaan masih dijalankan melibatkan 75 anggota bomba yang dibantu pasukan khas,” menurut bomba.

Pegawai kanan pentadbiran wilayah Aude, Marie-Helene Bouissac pula menyifatkan kejadian itu sebagai “luar biasa dan sangat traumatik”.

Seorang penduduk dari kampung berhampiran, Trebes, Jose Gomes berkata rumah rakannya runtuh akibat kejadian itu.

“Dia berada di dalam rumah, mengalami kecederaan di kepala dan patah tiga atau empat tulang rusuk,” katanya sambil menambah rakannya dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa pagi.

Menurut agensi cuaca, Meteo-France, Perancis dilanda beberapa puluh puting beliung dengan tahap kekuatan berbeza setiap tahun. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.