
IPOH, 9 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berpandangan tiada keperluan menubuhkan pasukan khas melibatkan komuniti Orang Asli bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
- Kepakaran komuniti Orang Asli dimanfaatkan oleh pasukan sedia ada seperti bomba, PGA dan pasukan bomba sukarela.
- Masyarakat Orang Asli memainkan peranan penting dalam operasi SAR kerana pengetahuan muka bumi dan laluan pedalaman.
- Kepakaran mereka digunakan dalam operasi terdahulu, termasuk pencarian pendaki yang hilang.
- Pasukan Bomba Sukarela Orang Asli di Ulu Geruntum telah ditubuhkan dan sedang dilaksanakan.
Pengarahnya, Datuk Sayani Saidon berkata, kepakaran komuniti itu telah lama dimanfaatkan menerusi pasukan sedia ada, termasuk anggota bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan bomba sukarela.
Beliau berkata masyarakat Orang Asli sememangnya memainkan peranan penting dalam operasi SAR kerana mempunyai pengetahuan mengenai bentuk muka bumi dan laluan di kawasan pedalaman.
Kepakaran itu turut dimanfaatkan dalam beberapa operasi terdahulu termasuk pencarian pendaki yang hilang.
“Jadi, sekiranya dicadangkan supaya ditubuhkan satu pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR), saya melihat tidak ada keperluan kerana kita telah mempunyai Pasukan Bomba Sukarela Orang Asli di Ulu Geruntum yang telah pun ditubuhkan dan telah dilaksanakan.
“Jadi, untuk menubuhkan satu lagi pasukan khas semata-mata bagi tujuan tersebut, saya berpendapat tidak terdapat keperluan yang begitu mendesak”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Balai di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru, Ipoh.