
PUTRAJAYA, 9 Julai – Seramai 52,810 pelajar Tingkatan Enam baharu di seluruh negara menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang dengan agihan bermula 28 Jun hingga 27 Julai ini.
- Lebih RM14.4 juta BAP disalurkan kepada 96,013 pelajar Tingkatan Enam tahun ini.
- Penyaluran dilaksanakan selaras keputusan kerajaan memperluaskan pemberian BAP sejak tahun lalu.
- Inisiatif menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI meringankan beban kewangan ibu bapa dan memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ia membabitkan pelajar yang mendaftar di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) pada 8 Jun lalu.
“Pemberian itu adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan melebihi RM14.4 juta bagi BAP kepada 96,013 pelajar Tingkatan Enam, termasuk pelajar baharu dan sedia ada, tahun ini,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata, penyaluran bantuan itu diteruskan selaras dengan keputusan kerajaan memperluaskan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam yang mula dilaksanakan pada tahun lalu.
Menurut kementerian itu, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga bagi membuat persediaan persekolahan.
Inisiatif ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.