
PUTRAJAYA, 8 Julai – Penahanan 10 warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 43 tahun membongkar taktik sindiket penyeludupan migran menggunakan kediaman mewah sebagai rumah transit dan khidmat ‘transporter’ untuk menghantar warga asing ke lokasi tertentu terbongkar
- Operasi sekitar Cap Square Centre, Kuala Lumpur berjaya menahan semua suspek dalam serbuan.
- Dua suspek bertindak sebagai penjaga premis, mengurus warga asing selepas bayaran RM700 hingga RM1,500.
- Operasi berasingan di Terminal Bersepadu Selatan dan Gombak menahan seorang 'transporter' tempatan dan empat lelaki warga India.
- Sindiket caj RM6,000 setiap migran; kenderaan, telefon, pasport dan wang tunai disita, suspek disiasat di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi pertama di sekitar Cap Square Centre, Kuala Lumpur, semalam berjaya menahan kesemua suspek berkenaan.
“Dua daripada mereka dipercayai bertindak sebagai penjaga premis yang menguruskan warga asing sebelum dihantar ke destinasi selepas bayaran antara RM700 hingga RM1,500 diselesaikan.
“Siasatan awal mendapati dua wanita Bangladesh yang ditahan telah disenarai hitam, namun dipercayai masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk tidak diwartakan,”katanya.
Dalam operasi berasingan di Terminal Bersepadu Selatan dan Terminal Bersepadu Gombak pula, seorang individu tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ditahan bersama empat lelaki warga India.
Sindiket dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap migran sebelum mereka diambil di hentian bas dan dihantar ke lokasi ditetapkan.
Turut disita sebuah kenderaan, telefon bimbit, pasport serta wang tunai.
Kesemua suspek ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.