Harga runcit petrol, diesel kekal mulai 9 hingga 15 Julai

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Berkuat kuasa tengah malam ini (9 Julai) hingga Rabu depan (15 Julai), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi tidak berubah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga runcit tanpa subsidi: RON97 kekal RM4.00 seliter, RON95 RM3.37 seliter, diesel RM3.97 seliter.
  • Harga subsidi: RON95 BUDI95 RM1.99 seliter, BUDI Diesel RM2.10 seliter, SKPS RM2.05 seliter, SKDS RM2.15 seliter.
  • MOF: harga mentah global menyederhana, risiko gangguan geopolitik masih wujud; Kerajaan menggesa penggunaan bahan api berhemat dan perancangan perjalanan cekap.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga runcit RON97 kekal pada RM4 seliter sementara RON95 dan diesel, masing-masing RM3.37 seliter dan RM3.97 seliter.

Bagi harga petroleum bersubsidi, harga RON95 bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) (RM2.15 seliter).

MOF memaklumkan, harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu dengan perkembangan itu didorong pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama.

“Namun begitu, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran pada Selasa menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.

“Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga. Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan MOF turut menyebut, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.