Iran dakwa serang 85 kemudahan tentera AS di Bahrain, Kuwait

Gambar hiasan

TEHRAN, 8 Julai – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas 85 kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan Washington, menurut kenyataan yang disiarkan penyiar negara Iran, IRIB.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGC mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik AS.
  • Tentera Iran memberi amaran semua pangkalan AS di rantau ini akan menjadi sasaran sah jika Washington terus melanggar perjanjian gencatan senjata.
  • Tiada pengesahan rasmi daripada pihak AS mengenai dakwaan serangan ke atas kemudahan tentera di Bahrain dan Kuwait.

IRGC berkata, operasi bersama yang dilaksanakan pasukan tentera laut dan angkasa lepasnya itu turut berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik AS.

“Dalam tindak balas awal terhadap pencerobohan ini, pasukan tentera laut dan angkasa lepas IRGC melaksanakan operasi bersama menggunakan peluru berpandu dan dron dengan menyasarkan 85 kemudahan tentera utama AS” di Bahrain dan Kuwait, menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Iran memberi amaran bahawa semua pangkalan tentera AS di rantau itu akan menjadi “sasaran sah” sekiranya Washington terus melanggar perjanjian gencatan senjata.

Menurut kenyataan yang turut disiarkan IRIB, tentera Iran mendakwa telah menyerang pusat pengumpulan tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, awal hari ini.

Tentera Iran berkata, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwanya sebagai “pencerobohan AS terhadap kawasan tentera dan awam di bahagian selatan negara itu” serta pelanggaran 14 perkara dalam perjanjian gencatan senjata.

“Akibat pelanggaran gencatan senjata yang berulang kali dan terang-terangan oleh penjenayah Amerika, semua pangkalan AS di rantau ini akan menjadi sasaran sah untuk dron tentera,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, IRGC mendakwa operasinya turut menyasarkan Pelabuhan Salman yang menempatkan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta Pangkalan Udara Ali Al-Salem di Kuwait, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim.

Setakat ini, belum ada pengesahan atau kenyataan rasmi daripada pihak AS berhubung dakwaan Iran mengenai serangan terhadap kemudahan tenteranya di Bahrain dan Kuwait. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.